TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Fungsi asal SSDM dikembalikan, hapus rekod amalan baik murid untuk kurangkan beban guru - Fadhlina

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 1 Nov -  Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan untuk mengembalikan Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) kepada fungsi asalnya iaitu merekod kes salah laku dan tindakan disiplin murid, sekali gus menghapuskan keperluan merekod amalan baik pelajar yang sebelum ini dianggap membebankan guru.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata langkah itu sebahagian daripada usaha progresif kementerian bagi mengurangkan beban tugas guru supaya mereka dapat menumpukan perhatian terhadap pengajaran dan persediaan pelaksanaan kurikulum baharu di sekolah rendah dan menengah menjelang 2026 dan 2027.

“Guru tidak perlu mencatat perkara remeh seperti murid tidak membawa buku latihan atau sebagainya kerana secara umumnya anak-anak kita baik dan menjadi kebanggaan kita.

“SSDM akan kembali kepada tujuan asal untuk kes disiplin murid sahaja. Ini bukan pertandingan dan tidak sepatutnya menjadi beban kepada guru,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Suara Guru Malaysia di Auditorium Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya, hari ini.

Fadhlina berkata, penambahbaikan SSDM itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat dan selepas ini sistem berkenaan akan memberi tumpuan kepada murid yang benar-benar memerlukan intervensi pihak sekolah melibatkan aspek kesihatan, keselamatan dan sosial.

“Ini juga selaras dengan usaha memastikan sistem pendidikan lebih berfokus kepada kesejahteraan murid dan guru,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, menyambut baik pengumuman berkenaan dan menyifatkannya sebagai kelegaan besar kepada warga pendidik di seluruh negara yang sekian lama menuntut penambahbaikan SSDM.

“Sebelum ini ada sekolah sampai masukkan beratus, malah beribu amalan baik murid. Ia sangat membebankan terutama guru kelas dan tidak memberi impak kepada sistem,” katanya pada sidang media selepas program itu.

Aminuddin berkata, pengumuman tersebut dibuat tepat pada masanya kerana seiring dengan dapatan kajian NUTP yang dibentangkan pada konvensyen itu, melibatkan 26 kajian berkaitan isu semasa dan beban tugas guru di seluruh negara.

Dalam masa sama, beliau turut menghargai langkah KPM menempatkan lebih 10,000 guru baharu, termasuk 500 guru bimbingan dan kaunseling, yang diharap dapat menampung kekosongan sedia ada serta mengurangkan beban guru lain yang terpaksa memikul tugas tambahan.

“Bagi guru bimbingan dan kaunseling, nisbah semasa seorang guru bagi 500 murid tidak memadai dalam menghadapi cabaran sosial semasa. Kami cadangkan dikurangkan kepada seorang guru bagi 350 murid supaya bimbingan lebih berkesan,” katanya.

Mengenai isu kesihatan mental guru, Aminuddin berkata walaupun tekanan kerja dikenal pasti sebagai antara punca, keadaan masih boleh ditangani menerusi intervensi awal seperti kaunseling dan bengkel sokongan.

“Beban tugas memang satu daripada faktor, tetapi bukan satu-satunya. Ada juga faktor peribadi dan tekanan luar sekolah. Kami mencadangkan supaya kajian menyeluruh dijalankan oleh kementerian agar intervensi dapat dilakukan dengan lebih tersusun,” katanya.

+ - reset