TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

UPM Sarawak rai 556 graduan pada Konvokesyen Ke-49

By
|
Kongsi
image

 

 

BINTULU, 1 Nov – Seramai 556 graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49 Sidang 1 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Dewan Sri Kenyalang, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).

Majlis penuh istiadat itu disempurnakan oleh Pro Canselor UPM, Tan Sri Peter Chin Fah Kui, yang menyampaikan ijazah kepada tujuh graduan peringkat Doktor Falsafah, 31 graduan Sarjana, 130 graduan Bacelor dan 388 graduan Diploma daripada pelbagai bidang pengajian.

Konvokesyen kali ini turut mencipta sejarah apabila menyaksikan kelahiran graduan perintis bagi dua program baharu di UPMS, iaitu Bacelor Sains Kimia Perindustrian dengan Kepujian dan Diploma Pengurusan Perniagaan.

Dalam majlis berkenaan, Tan Sri Peter turut menyampaikan Hadiah Live Animals Medical Centre kepada Clayrieysia Samantha Michael Solomon, penerima Graduan Terbaik Bacelor (Bacelor Sains Bioindustri dengan Kepujian), dan Hadiah Kecemerlangan Yvonne Sing Sai Hoi kepada Russell Tang Hsien Rhon, penerima Graduan Terbaik Diploma (Diploma Sains Komputer, UPMS).

Buat julung kalinya, Pingat Emas Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Bintulu Port Holdings Berhad turut diperkenalkan bagi mengiktiraf kecemerlangan graduan dalam kepimpinan dan kokurikulum. Anugerah tersebut diberikan kepada Wan Irfan Hakim Wan Ismail, graduan Diploma Perniagaantani.

Majlis kali ini juga merupakan konvokesyen pertama selepas penjenamaan semula UPM Kampus Bintulu kepada Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) pada 30 Jun 2025.

Selepas lebih 50 tahun bertapak di Bumi Kenyalang, UPMS terus memperkukuh kepakaran serta meneroka disiplin baharu selaras dengan aspirasi Sarawak Maju 2030.

Antara inisiatif strategik yang diterajui termasuk penubuhan Sekolah Veterinar dan Sains Haiwan, projek transformasi penanaman padi AgriHub@Gedong, serta penubuhan Konsortium Universiti Universitas Borneo — langkah memperkukuh kolaborasi antara UPMS dan Kerajaan Negeri Sarawak dalam membangunkan ekosistem pendidikan tinggi serta penyelidikan berimpak global.

Sempena konvokesyen itu, Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM ke-49 turut diadakan dari 30 Oktober hingga 2 November di tapak ekspo berhampiran Dewan Sri Kenyalang.

Ekspo yang dibuka dari 8 pagi hingga 11 malam itu menampilkan pelbagai jualan hasil pertanian termasuk anak pokok buah-buahan, bunga-bungaan, sayur-sayuran, kompos serta produk ternakan seperti daging lembu, rusa, arnab, burung puyuh dan ikan.

Majlis konvokesyen tersebut bukan sahaja meraikan kejayaan para graduan, malah memperkukuh peranan UPM sebagai peneraju bidang pertanian dan keterjaminan makanan, sekali gus menyumbang kepada kemakmuran Sarawak dan pembangunan negara secara menyeluruh. - Media Telus

 

+ - reset