TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan pertimbang haramkan Roblox dan UMI, tunggu tindakan Australia – Nancy Shukri

By
|
Kongsi
image

 

 

KUCHING 1 Nov - Kerajaan sedang meneliti kemungkinan untuk mengharamkan dua aplikasi permainan dalam talian popular, Roblox dan UMI, susulan kebimbangan terhadap keselamatan serta kandungan yang dikhuatiri memberi pengaruh negatif kepada golongan muda.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara itu masih di peringkat perbincangan dan keputusan akhir akan dibuat selepas meneliti langkah yang bakal diambil oleh kerajaan Australia yang dijangka melaksanakan peraturan baharu terhadap Roblox pada Disember ini.

"Kita masih menunggu dan melihat bagaimana Australia melaksanakan peraturan itu. Mereka sedang merancang, tetapi belum dilaksanakan.

"Malaysia akan menilai sama ada pendekatan itu sesuai dengan keadaan dan budaya tempatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang cedera parah akibat dikelar abangnya berusia sembilan tahun dengan objek tajam di Kampung Parit Nipah, Parit Raja, Batu Pahat, pada Isnin lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad sebelum ini dilaporkan berkata, motif kejadian masih dalam siasatan, namun siasatan awal mendapati abang mangsa dipercayai bertindak demikian selepas permainan Roblox yang dimainkan terganggu hingga menyebabkan semua 'point' dikumpulnya hilang.

Sementara itu, Australia dilaporkan sedang meneliti sekatan penggunaan Roblox untuk pengguna berusia 16 tahun ke bawah berikutan kebimbangan bahawa platform tersebut boleh memberi kesan negatif dan dikaitkan dengan beberapa insiden antarabangsa.

Menurut Nancy, pelaksanaan dasar di Australia itu akan dipantau terlebih dahulu sebelum Malaysia membuat sebarang keputusan rasmi terhadap aplikasi berkenaan.

"Memang benar, perkembangan teknologi seperti ini ada pengaruhnya terhadap kes-kes yang berlaku. Sebab itu kita perlu berhati-hati dan belajar daripada negara lain sebelum membuat keputusan,” katanya.

 

+ - reset