TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Dalam otak hanya ada rakyat Muar' - Syed Saddiq tamat Ironman bawah 13 jam, raih RM1 juta untuk rakyat Muar

By
|
Kongsi
image

 

LANGKAWI 2 Nov - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mencatat kejayaan berganda apabila berjaya menamatkan cabaran Kejohanan Ironman Malaysia 2025 di Langkawi dalam masa kurang 13 jam, sekali gus membawa pulang sumbangan RM1 juta untuk kebajikan rakyat di kawasannya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan berusia 32 tahun itu menamatkan perlumbaan yang merangkumi 3.8 kilometer (km) renangan, 180km berbasikal dan 42.2km larian, dengan catatan masa 12 jam 22 minit 18 saat.

“Saya datang ke sini dengan satu matlamat iaitu untuk mendapatkan RM1 juta untuk Muar… Alhamdulillah, saya berjaya merekodkan catatan masa bawah 13 jam, jadi sekarang Prima Valet perlu penuhi janji mereka iaitu RM1 juta untuk bank makanan, komputer riba dan baju raya.

“Saya akan lakukan apa sahaja untuk pastikan kebajikan rakyat saya dijaga dengan baik. Walaupun muntah beberapa kali kerana berasa kurang sihat, saya nekad untuk habiskan kerana rakyat Muar sentiasa dalam fikiran dan saya sama sekali tidak akan menghampakan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menamatkan kejohanan itu.

Syed Saddiq berkata, disiplin lari merupakan cabaran paling sukar buat dirinya, apatah lagi ketika berdepan keadaan fizikal yang tidak stabil.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana berjaya memperbaiki catatan masa berbanding penyertaannya tahun lalu yang mencatatkan 13 jam 13 minit 50 saat.

“Saya sertai kejohanan ini kerana ingin menguji kemampuan fizikal dan mental… tadi, saya terfikir mengapa saya menyeksa diri tetapi apabila berjaya melepasi garisan penamat, saya kata pada diri sendiri akan sertai lagi tahun hadapan.

“Kalau diberikan kudrat yang kuat, mungkin pada usia 100 tahun saya masih akan terus sertai sukan triathlon ini kerana mahu pastikan badan dan minda saya sentiasa cergas. Untuk menjadi seorang pemimpin, tidak kiralah dalam bidang politik atau tidak, kita perlu berada dalam keadaan kuat sentiasa,” katanya.

Sebelum ini, syarikat fesyen tempatan, Prima Valet, berjanji akan menyumbangkan RM1 juta kepada penduduk Muar sekiranya Syed Saddiq berjaya menamatkan kejohanan itu dalam masa kurang 13 jam.

 

+ - reset