TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

12,500 murid B40 di Selangor terima vaksin influenza percuma mulai minggu depan

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 2 Nov - Seramai 12,500 murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di Selangor bakal menerima vaksin influenza secara percuma bermula minggu depan.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, program itu akan dilaksanakan di empat daerah yang mencatatkan kadar kes tertinggi iaitu Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Langat membabitkan peruntukan RM1 juta. 

Katanya, ia bertujuan memastikan kanak-kanak khususnya daripada golongan berpendapatan rendah mendapat perlindungan terhadap jangkitan influenza serta mengurangkan penularannya dalam komuniti.

"Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menyarankan agar murid berusia lapan tahun dan ke bawah menerima dua dos vaksin influenza kecuali bagi mereka yang sudah menerima vaksin sama sebelum ini.

"Langkah ini penting untuk memastikan perlindungan imunisasi lebih optimum terhadap jangkitan dalam kalangan kanak-kanak berisiko tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata, program berkenaan akan dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu Program Outreach yang mana pasukan akan digerakkan ke sekolah yang mempunyai Pusat Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi memberi vaksin kepada 4,720 murid berumur 8 tahun ke bawah daripada golongan B40. 

Katanya, setiap murid akan menerima risalah maklumat lengkap mengenai program berserta kod QR untuk ibu bapa mendaftar melalui aplikasi SELangkah.

"Kaedah kedua adalah secara 'walk in' di klinik Selcare dan klinik panel terpilih yang mana kanak-kanak daripada keluarga B40 dan mempunyai komorbid atau penyakit kronik, tetapi tidak berada di sekolah dengan PPKI, boleh mendapatkan vaksin terpilih.

"Ibu bapa perlu mendaftar dan mengesahkan status melalui aplikasi SELangkah sebelum hadir ke klinik," katanya. 

Jamaliah berkata, program vaksinasi itu bukan sahaja dapat membantu mengurangkan beban kewangan keluarga B40, tetapi berperanan meningkatkan tahap kesihatan dan kehadiran anak ke sekolah.

"Justeru kerajaan negeri menyeru agar semua ibu bapa yang layak agar mendaftar melalui aplikasi SELangkah dan memanfaatkan peluang ini bagi melindungi anak-anak daripada jangkitan influenza," katanya.

+ - reset