TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Jika ada rakan media yang terkilan...' - Kor Ming mohon maaf, tarik balik kenyataan terhadap wartawan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 2 Nov - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memohon maaf dan menarik balik kenyataannya terhadap seorang wartawan yang dibuat ketika sidang media baru-baru ini.

Nga berkata, beliau menyedari kemungkinan berlaku kekhilafan ketika kejadian itu dan menerima segala teguran dengan hati terbuka.

"Berkaitan dengan kekhilafan di program pencahayaan Bukit Bintang Kuala Lumpur, saya menerima dengan hati terbuka segala teguran... sekiranya ada rakan-rakan media yang terkilan dengan kata-kata itu, saya tarik balik dan mohon maaf supaya kita dapat fokus untuk memastikan martabat negara,” katanya pada sidang media di Ipoh hari ini.

Tindakan Nga itu susulan kritikan meluas daripada masyarakat dan persatuan media selepas kenyataannya semasa sesi prapelancaran projek “I Lite U” bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, yang disifatkan sebagai cubaan mengugut seorang wartawan.

Menerusi hantaran di Facebook, Timbalan Pengerusi DAP itu menjelaskan bahawa kenyataan yang menimbulkan kontroversi tersebut berlaku semasa program pencahayaan Bukit Bintang, dan beliau menerima teguran dengan hati terbuka supaya tumpuan dapat diberikan kepada usaha memartabatkan negara.

Nga turut menegaskan komitmennya terhadap kebebasan media dan menghargai peranan wartawan dalam menyampaikan inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada rakyat.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada media atas sokongan berterusan dalam menyebarkan maklumat mengenai program dan dasar kementeriannya.

+ - reset