Berita Berita
'Beliau seorang yang jujur, tak takut buat perkara betul' - Keluarga Pastor Koh mohon Ayob Khan ketuai siasatan baharu
KUALA LUMPUR 13 Nov - Keluarga kepada Pastor Raymond Koh yang hilang sejak 13 Februari 2017 merayu agar Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dipertimbangkan untuk mengetuai siasatan polis berhubung kes kehilangan tersebut.
Isteri Koh, Susanna Liew berkata, pelantikan individu berintegriti tinggi amat penting bagi memastikan siasatan dijalankan dengan adil dan berlandaskan undang-undang.
"Saya bersama keluarga dengan rendah hati memohon Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, dipertimbangkan untuk mengetuai sebarang siasatan polis berhubung perkara ini.
"Beliau dikenali umum sebagai seorang yang berintegriti dan jujur. Kami yakin beliau tidak akan gentar atau takut untuk melakukan apa yang betul dan adil, walaupun membabitkan pegawai kanan polis dalam kes penculikan ini.
"Pelantikan Ayob, yang juga terkenal dengan pengalaman luas dalam penyiasatan serta pendiriannya yang tegas terhadap disiplin dan integriti dalam kalangan pegawai di bawahnya, akan memberi isyarat jelas bahawa siasatan ini diambil dengan serius serta akan dijalankan secara bebas, menyeluruh dan berwibawa," katanya dalam kenyataan semalam.
Susanna berkata, tiga siasatan polis terdahulu mengenai kehilangan Koh dan aktivis sosial Amri Che Mat menunjukkan hasil berbeza seperti dilaporkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Pasukan Petugas Khas dan keputusan Mahkamah Tinggi.
Beliau turut memohon Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengadakan pertemuan dengan keluarga dan peguam mereka bagi membincangkan kes berkenaan pada minggu depan, sambil memaklumkan bahawa bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pernah berbuat demikian sebelum ini.
"Saya berharap menteri dapat meluangkan sedikit masa untuk bertemu dengan kami.
"Perkara ini amat peribadi dan menyakitkan bagi saya dan keluarga. Selepas sekian lama, keputusan Mahkamah Tinggi dan kenyataan menteri baru-baru ini memberi kami harapan bahawa pihak berkuasa akan bertindak dengan tekad.
"Permohonan kami ini lahir daripada harapan yang mendalam supaya siasatan ini dijalankan dengan segera, telus dan dapat mengembalikan kepercayaan bukan saja bagi keluarga saya dan keluarga Amri Che Mat tetapi untuk semua rakyat Malaysia yang percaya kepada kerajaan MADANI, pasukan polis serta bahawa kebenaran dan keadilan akhirnya akan ditegakkan," katanya.
Pada 11 November lalu, isteri kepada Amri mempersoalkan kenyataan terbaharu Saifuddin mengenai pembukaan semula siasatan kehilangan itu dan berpendapat kerajaan sepatutnya bertindak lebih awal.
Sebelum itu, Mahkamah Tinggi pada 5 November memutuskan bahawa polis dan kerajaan bertanggungjawab atas kecuaian, penyalahgunaan kuasa awam, pelanggaran kewajipan statutori serta pencabulan kebebasan asasi dalam kes kehilangan Koh dan Amri.
Saifuddin sebelum ini mengesahkan polis telah membuka semula siasatan berhubung kedua-dua kes tersebut.
Berita berkaitan
November 14, 2025, 10:41 am
Bilik guru SBPI Sungai Lang terbakar, bomba siasat punca kejadian
November 14, 2025, 10:30 am
Fadlun Mak Ujud Datuk Bandar KL baharu, ganti Maimunah
November 14, 2025, 10:00 am
Stor sukan SMK Jalan 3 Bangi musnah terbakar awal pagi
November 14, 2025, 8:43 am
Tak serik-serik, dua lelaki Malaysia ditahan di Sungai Golok berkaitan kes dadah, imigresen
November 14, 2025, 7:52 am
Malaysia sokong waran tangkap ICC terhadap pemimpin Israel
November 14, 2025, 7:47 am
Exco Kedah mohon maaf, nafi niat hina rakyat Sabah
November 14, 2025, 7:40 am
Kemboja, Thailand beri komitmen teruskan usaha damai - Anwar
November 14, 2025, 7:35 am
Maimunah dilantik Penasihat Hartanah Petronas mulai 17 November
November 14, 2025, 7:31 am
Polis kesan individu terlibat pergaduhan tular di CIQ BSI
November 13, 2025, 9:09 pm
