TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Genting Malaysia sahkan akan kenakan bayaran untuk laluan ke Genting Highlands

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 13 Nov - Genting Malaysia Bhd mengesahkan bahawa kenderaan yang menggunakan Jalan Genting Highlands akan dikenakan bayaran tertentu pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan butiran lanjut mengenai pelaksanaan Caj Jalan Persendirianitu akan diumumkan sebaik semua perincian dimuktamadkan.

Genting Malaysia menjelaskan bahawa caj tersebut diperlukan memandangkan kos penyelenggaraan sepanjang 24 kilometer jalan dan cerun berisiko tinggi itu ditanggung sepenuhnya oleh syarikat berkenaan sejak tahun 1960-an.

“Penggunaan yang kerap di Jalan Genting Highlands telah menyebabkan banyak kerosakan dan memerlukan penyelenggaraan berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Menurut kenyataan itu, jalan berkenaan dibina secara persendirian oleh Genting Malaysia bagi menyediakan akses yang selamat ke Resorts World Genting serta beberapa destinasi pergunungan lain.

Menjelaskan lanjut, syarikat itu berkata prinsip ‘pengguna membayar’ adalah kaedah paling berdaya maju untuk menampung kos penyelenggaraan, pembaikan, dan kerja-kerja pembaikan cerun.

“Ini bagi memastikan jalan raya terus selamat untuk semua pengguna dan menyediakan akses kepada seluruh komuniti Genting Highlands, perniagaan, berjuta pelancong serta orang awam dari seluruh negara,” katanya.

Genting Malaysia menegaskan inisiatif itu adalah usaha swasta di atas tanah persendirian, dan pihaknya menggalas tanggungjawab penuh terhadap keselamatan pengguna.

“Menjalankan kerja di kawasan pergunungan adalah mencabar, berbahaya dan mahal, tetapi ia penting untuk memastikan keselamatan jalan raya dan lereng bagi penambahbaikan berterusan untuk semua pengguna,” katanya.

Selain penyelenggaraan berkala, Genting Malaysia turut menempatkan pasukan tindak balas kecemasan terlatih di pertengahan dan puncak bukit bagi menghadapi sebarang kemungkinan luar jangka termasuk kemalangan.

Syarikat itu menambah, jalan tersebut memainkan peranan penting dalam memacu industri pelancongan di kawasan itu, mewujudkan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada ekonomi negeri Pahang dan negara.

“Jalan Genting Highlands juga telah menyediakan peluang kepada kewujudan destinasi pergunungan lain selain daripada yang diurus kumpulan Genting Malaysia, menyumbang kepada industri pelancongan yang dinamik,” katanya.

 

+ - reset