TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis kesan individu terlibat pergaduhan tular di CIQ BSI

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 14 Nov – Polis sedang mengesan individu yang terlibat dalam kejadian pergaduhan antara dua lelaki di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima video tular itu kira-kira jam 5.30 petang pada Khamis.

“Hasil semakan mendapati sehingga kini tiada laporan polis diterima berkaitan kejadian tersebut.

“Polis sedang mengenal pasti individu yang terlibat, saksi kejadian dan punca sebenar insiden. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan video berkenaan bagi mengelakkan salah faham atau spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya.

Raub turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323.

Video berkenaan menunjukkan situasi sesak di CIQ dengan penumpang menunggu bas sebelum dua lelaki dilihat bergaduh dan bertumbuk sehingga terjatuh.

Perkongsian itu mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk gesaan supaya kerajaan dan agensi berkaitan pengangkutan awam menambah baik kawalan pergerakan penumpang, terutama pada waktu puncak di BSI.

+ - reset