TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Maimunah dilantik Penasihat Hartanah Petronas mulai 17 November

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 14 Nov – Petronas mengumumkan pelantikan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif sebagai Penasihat Hartanah berkuat kuasa 17 November ini.

Pelantikan tokoh perancang bandar bertaraf global itu dijangka memperkukuh hala tuju pembangunan hartanah Petronas, khususnya melibatkan tanah Sungai Besi, projek Kota Madani serta beberapa pembangunan strategik lain di bawah portfolio syarikat minyak dan gas nasional tersebut.

“Maimunah akan memainkan peranan penting dalam membimbing dan merangka strategi pertumbuhan fasa seterusnya bagi portfolio hartanah Petronas. Kepakaran teras beliau selama lebih 40 tahun adalah dalam pembangunan bandar mapan,” menurut kenyataan syarikat itu.

Maimunah sebelum ini berkhidmat sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Datuk Bandar Pulau Pinang, selain menjadi presiden wanita pertama Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Di peringkat antarabangsa, beliau mencipta sejarah sebagai wanita Asia pertama dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung dan Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat), selain pernah memangku jawatan Ketua Pengarah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Nairobi.

Beliau juga merupakan Profesor Kehormat di Bartlett School, University College London serta Profesor Adjung di Universiti Malaya.

Antara pengiktirafan terkini diterimanya termasuk Anugerah Kepimpinan di World Smart City Awards di Barcelona dan Anugerah Kepimpinan Terbaik kategori Bandar daripada Kementerian Perumahan Malaysia.

“Pengurusan Petronas mengalu-alukan kehadiran Datuk Seri Maimunah dan yakin kepakaran serta pengalaman luas beliau akan menjadi aset penting kepada syarikat,” menurut kenyataan itu.

+ - reset