TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kemboja, Thailand beri komitmen teruskan usaha damai - Anwar

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 14 Nov - Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, memberikan maklum balas positif serta menegaskan komitmen untuk meneruskan usaha damai selaras Perjanjian Damai Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau telah berhubung dengan kedua-dua pemimpin itu melalui panggilan telefon bagi membincangkan perkembangan terbaharu selepas insiden di sempadan kedua-dua negara.

Menurut Anwar, Malaysia mahu melihat hubungan persahabatan dan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja terus diperkukuh mengikut persefahaman yang dicapai pada penghujung Oktober lalu. Beliau turut menyatakan kesiapsiagaan Malaysia untuk terus berperanan sebagai pemudah cara dalam proses perdamaian tersebut.

Kedua-dua perdana menteri itu turut merakamkan penghargaan atas pendirian Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN serta sebagai rakan serantau yang komited terhadap keamanan.

Anwar berharap kedua-dua negara akan terus menunjukkan kesungguhan dalam memulihkan kestabilan di kawasan perbatasan demi keselamatan rakyat dan keamanan jangka panjang rantau ini.

Pada 26 Oktober lalu, Hun Manet dan Anutin menandatangani perjanjian damai di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, disaksikan Anwar dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Perjanjian itu menyaksikan Thailand dan Kemboja bersetuju menamatkan ketegangan dan mengukuhkan hubungan kejiranan.

+ - reset