TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Malaysia sokong waran tangkap ICC terhadap pemimpin Israel

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 14 Nov - Malaysia terus menyokong serta menyambut baik tindakan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap pemimpin rejim zionis atas dakwaan jenayah perang dan kemanusiaan di Palestin.

Waran tangkap yang dikeluarkan pada 21 November 2024 itu merujuk kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant. Ia turut melibatkan dakwaan penggunaan kebuluran sebagai kaedah peperangan terhadap rakyat Palestin.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kes di ICC masih belum memasuki fasa perbicaraan.

“Tindakan ICC ini adalah langkah penting dalam memperjuang keadilan bagi rakyat Palestin dan membanteras budaya impuniti yang telah lama melindungi rejim Israel daripada dipertanggungjawabkan atas jenayah kemanusiaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai usaha diplomasi Malaysia di peringkat antarabangsa bagi memastikan waran tangkap terhadap Netanyahu dapat dilaksanakan.

Mohamad berkata, pelaksanaan waran tangkap berkenaan memerlukan komitmen politik serta kerjasama negara-negara, khususnya negara pihak kepada Statut Rom.

“Walaupun Malaysia bukan negara pihak kepada Statut Rom, Malaysia sentiasa bersedia memberikan kerjasama kepada pihak ICC,” tegasnya.

Beliau turut mendedahkan bahawa dalam isu Palestin sahaja, kuasa veto telah digunakan sebanyak 38 kali sejak 1948, termasuk sembilan kali bagi resolusi berkaitan konflik Gaza selepas Oktober 2023.

Katanya, penggunaan veto yang menyebabkan kegagalan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) melaksanakan mandatnya wajar dicabar.

+ - reset