TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dakwaan Malaysia antara lima tertinggi populasi transgender tidak dapat dipastikan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 14 Nov - Dakwaan bahawa Malaysia tersenarai sebagai antara lima negara tertinggi di Asia yang mempunyai populasi transgender tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, penyelidikan berkaitan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Malaysia masih sangat terhad, menyebabkan tiada data komprehensif mengenai jumlah golongan transgender di negara ini.

Mohd Na’im menegaskan kerajaan tidak mengiktiraf LGBT kerana Malaysia sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, serta menerapkan nilai moral berasaskan adat, budaya dan agama.

Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama jabatan agama Islam negeri (JAIN) menjalankan pelbagai inisiatif mendekati kelompok homoseksual atau LGBT muslim sebagai langkah intervensi untuk membendung perkembangan golongan itu.

“Perlakuan LGBT bertentangan dengan agama, moral dan budaya Malaysia. Selain itu, perbuatan homoseksual bercanggah dengan undang-undang negara. Hak komuniti LGBT untuk mengamalkan gaya hidup mereka tetap tertakluk kepada undang-undang yang tidak membenarkan perlakuan tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN–Tampin) berhubung dakwaan Malaysia berada dalam lima negara tertinggi di Asia dari segi populasi transgender serta tindakan susulan kerajaan terhadap isu tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata JAKIM telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Berkenaan Isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang Beragama Islam, membangunkan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) 2019–2025, serta menubuhkan Pusat Khidmat Keluarga dan Sosial Komuniti (PKKSK).

Selain itu, JAKIM turut melaksanakan Program Pendidikan dan Advokasi serta menguatkuasakan peruntukan dalam Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah.

“Pendekatan JAKIM bertujuan membimbing golongan ini ke arah kehidupan Islam yang sebenar melalui pelbagai program seperti Program Mukhayyam dan kini Kem Bimbingan Spiritual (KBS) yang diadakan tiga kali setahun, termasuk pendedahan tentang akidah, fardu ain, kesihatan dan motivasi diri,” katanya.

+ - reset