Berita Berita
'Semua dadah dirampas diurus dengan teliti' - Polis nafi jual semula dadah rampasan, 596kg dilupus ikut prosedur
SHAH ALAM 14 Nov - Polis Selangor menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tidak berasas yang mendakwa kononnya pasukan keselamatan menjual semula atau melepaskan dadah rampasan ke pasaran.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, menegaskan dakwaan itu bukan sahaja tidak benar, malah mencalarkan imej serta kepercayaan masyarakat terhadap komitmen polis dalam memerangi jenayah narkotik.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Selangor melaksanakan pelupusan barang kes dadah setiap tahun mengikut prosedur dan garis panduan ditetapkan bagi kes-kes yang telah selesai di mahkamah.
“Semua dadah dirampas diuruskan dengan penuh ketelitian, bertanggungjawab dan integriti. Setiap gram direkodkan dan akan dipersoalkan semasa proses perbicaraan di mahkamah,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Pelupusan Barang Kes Dadah dan Kertas Siasatan JSJN Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Shazeli berkata, komitmen itu dibuktikan melalui pelupusan 596.2 kilogram dan 2,744 liter pelbagai jenis dadah bagi kes yang diselesaikan tahun ini.
Bagi tempoh 2020 hingga 2025, dadah bernilai keseluruhan RM10.3 juta akan dilupuskan, termasuk ganja, syabu, ekstasi, ketum, MDMA, heroin, Erimin 5, ketamin serta pelbagai cecair dan serbuk disyaki dadah. Semuanya dihantar ke tapak pelupusan milik kerajaan yang diuruskan Cenviro Sdn Bhd di Bukit Pelanduk, Port Dickson.
Sepanjang Januari hingga Oktober 2025, polis membuka 30,214 kertas siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952, dengan 34,010 tangkapan direkodkan.
“Daripada jumlah itu, 775 individu ditangkap sebagai pengedar mengikut Seksyen 39B. Selain itu, 102 orang ditahan di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985, manakala 983 penagih berulang dituduh di bawah Seksyen 15(1)(a) dibaca bersama Seksyen 39C,” katanya.
Dalam usaha melumpuhkan sindiket dadah, tindakan pelucuthakan harta turut dilaksanakan dengan pelbagai aset dan sumber kewangan bernilai RM18.32 juta disita.
Selain pelupusan dadah, polis turut melupuskan 12,178 kertas siasatan bagi tempoh 1995 hingga 2019 sebagai langkah memperkemas pengurusan rekod.
Berita berkaitan
November 14, 2025, 4:58 pm
KDNK naik 5.2 peratus, bukti ekonomi bawah Kerajaan Madani semakin kuat - Fahmi
November 14, 2025, 4:57 pm
KKR jelaskan laluan ke Genting Highlands bukan Jalan Persekutuan
November 14, 2025, 4:51 pm
Kerajaan ada 48 jam bayar RM1.1 juta kepada ibu mendiang model Belanda
November 14, 2025, 4:49 pm
Perhilitan Terengganu tegur lelaki beri makan tapir untuk siaran langsung
November 14, 2025, 4:43 pm
Inspektor Sheila buat tiga laporan polis
November 14, 2025, 2:14 pm
Polis sahkan pengasas eHATI dan suami lari ke luar negara sehari sebelum didakwa
November 14, 2025, 2:03 pm
MAHB sedia beri kerjasama dengan SPRM siasat isu gangguan Aerotrain
November 14, 2025, 1:12 pm
