TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan ada 48 jam bayar RM1.1 juta kepada ibu mendiang model Belanda

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 14 Nov - Kerajaan Persekutuan berdepan tekanan baharu apabila ibu kepada model Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit, memberi tempoh 48 jam untuk menyelesaikan pembayaran ganti rugi RM1.1 juta yang diperintahkan Mahkamah Tinggi.

Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen memberi amaran bahawa kegagalan kerajaan mematuhi arahan itu akan membawa kepada tindakan undang-undang lanjut, termasuk prosiding menghina mahkamah.

Tuntutan itu dinyatakan dalam surat yang dialamatkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar melalui firma guaman SN Nair & Partners, sehari selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan pembayaran.

Roz Mawar semalam mengarahkan kerajaan mendepositkan jumlah ganti rugi beserta faedah terkumpul ke dalam akaun pelanggan selewat-lewatnya pada hari sama.

Pada 29 Julai lalu, mahkamah memerintahkan pembayaran ganti rugi selepas mendapati wujud kecuaian polis dalam mengendalikan siasatan kematian Ivana pada 2017.

Menurut surat tuntutan itu, Verstappen pada awalnya menahan diri daripada memaksa pelaksanaan segera demi memberi ruang budi bicara kepada kerajaan. Bagaimanapun, ia menegaskan bahawa perintah 29 Julai perlu dipatuhi sepenuhnya tanpa kompromi.

"Sehingga surat ini ditulis, pihak peguam masih tidak menerima sebarang pengesahan, maklum balas, atau apa-apa bukti pembayaran berhubung amaun ganti rugi yang diperintahkan.

"Kegagalan ini adalah satu bentuk ketidakpatuhan yang nyata serta boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap perintah mahkamah, memandangkan arahan mahkamah adalah jelas, spesifik dan bersifat serta-merta.

"Selaras dengan arahan anak guam kami, kami dengan ini memberikan notis 48 jam kepada pihak defendan untuk memastikan bahawa amaun penghakiman RM1.1 juta dibayar dan didepositkan ke dalam akaun pelanggan kami sebagaimana diperintahkan Mahkamah Tinggi.

"Sekiranya defendan gagal melaksanakan pembayaran dalam tempoh yang dinyatakan, pihak kami diarahkan untuk mengambil apa-apa langkah undang-undang yang perlu dan sewajarnya termasuk prosiding penghinaan mahkamah bagi menjamin pematuhan penuh terhadap perintah pembayaran itu," menurut surat itu.

Ketika memutuskan saman Verstappen terhadap kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Roz Mawar mendapati wujud pelanggaran tanggungjawab penjagaan oleh pihak berkuasa, termasuk kelemahan dalam pengurusan tempat kejadian jenayah, pemeliharaan bukti dan prosedur forensik.

Tuntutan saman itu difailkan Verstappen yang menamakan Ketua Polis Negara; Pegawai Penyiasat Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Faizal Abdullah; Menteri Dalam Negeri; serta kerajaan Malaysia, dengan dakwaan melanggar kewajipan statutori dalam siasatan punca kematian.

Dalam tuntutannya, Verstappen berkata anaknya yang berusia 18 tahun ditemukan maut di tingkat enam Cap Square Residence di sini pada 7 Disember 2017 selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika, Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.

Roz Mawar mengisytiharkan defendan gagal melaksanakan tanggungjawab sebagaimana diputuskan Mahkamah Tinggi pada 2019.

Ketika itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner yang menyifatkan kejadian sebagai "insiden malang", dan menggantikannya dengan keputusan bahawa kematian disebabkan oleh individu tidak dikenali. Beliau turut memerintahkan siasatan baharu dijalankan.

Verstappen turut mendakwa polis cuai apabila gagal menutup lokasi kejadian, menyita barang peribadi mangsa, mengumpulkan bukti serta menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Johnson dan Almazkyzy.

 

+ - reset