TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KDNK naik 5.2 peratus, bukti ekonomi bawah Kerajaan Madani semakin kuat - Fahmi

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 14 Nov - Pertumbuhan ekonomi Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif apabila kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2025 disahkan pada paras 5.2 peratus, mengatasi unjuran awal dan memberi gambaran kukuh keberkesanan dasar Kerajaan Madani.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkembangan itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, susulan laporan rasmi Bank Negara Malaysia (BNM).

“Perdana Menteri juga telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri hasil atau pun laporan Bank Negara Malaysia yang telah mengumumkan kadar pertumbuhan KDNK rasmi yang disahkan iaitu 5.2% bagi suku ketiga 2025.

“Ini telah menjangkaui apa yang kita anggap sebagai ‘best case projection’ sebelum ini sebanyak 4.8%.

“Walaupun sebelum ini pernah diumum angka tersebut tapi ia hanya anggaran pada waktu itu dan pada hari ini telah disahkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di Menara Komunikasi hari ini.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Madani berkata, antara sektor yang menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan adalah pembinaan dan perkhidmatan.

“Perdana Menteri juga telah memaklumatkan antara sektor yang mencatatkan pertumbuhan KDNK paling tinggi dan paling memberangsangkan adalah sektor perkhidmatan hampir 9 peratus dan juga sektor pembinaan hampir 12 peratus.

“Ini membuktikan bahawa keadaan pertumbuhan ekonomi dalam negara kita berada dalam kedudukan yang baik, di landasan yang betul dan terus mencatat pertumbuhan yang cukup baik,” katanya.

Sebelum ini, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata angka 5.2 peratus pada suku ketiga 2025 dicapai dengan peningkatan berbanding 4.4 peratus pada suku kedua.

Ia didorong oleh permintaan dalam negeri dan pertumbuhan eksport yang lebih tinggi.

Menurut beliau, perbelanjaan isi rumah disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan dan program bantuan wang tunai.

 

+ - reset