TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

2 maut SUV terjunam di Bukit Kawah: Tiada kesan brek, polis siasat siapa alih papan tanda amaran, penghadang jalan

By
|
Kongsi
image

 

HULU TERENGGANU 7 Dis – Tragedi meragut nyawa pasangan bakal pengantin di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring, Bukit Kawah kelmarin dipercayai berpunca daripada tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengalihkan papan tanda amaran di laluan tanah runtuh berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab, berkata siasatan di lokasi tidak menemukan sebarang kesan brek, malah SUV dinaiki mangsa dipercayai dipandu terus ke laluan terputus sebelum terhumban ke dalam gaung sedalam 61 meter.

Beliau menjelaskan, papan tanda amaran serta penghadang jalan yang dipasang sebelum ini difahamkan sudah dialihkan individu tertentu, sekali gus menyebabkan pemandu tidak menyedari laluan itu ditutup akibat tanah runtuh tahun lalu.

“Berdasarkan serpihan kenderaan yang ditemui di lereng, kita percaya SUV itu tidak dipandu laju. Jika laju, kenderaan biasanya akan ‘terbang’ sedikit sebelum jatuh. Dalam kes ini, ia terus menjunam,” katanya hari ini.

Sharudin berkata, siasatan awal mendapati faktor kecuaian manusia kerana tidak memberi tumpuan sepenuhnya ketika memandu turut menyumbang kepada kejadian itu.

Mengulas mengenai kamera papan pemuka (dashcam), beliau memaklumkan hanya tapak perakam dijumpai, manakala kamera dipercayai tercampak ketika insiden.

Operasi mengeluarkan SUV mengambil masa hampir empat jam susulan keadaan hujan yang menyukarkan proses membawa naik kenderaan tersebut. Operasi bermula jam 2 petang semalam sebelum SUV dibawa ke IPD Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.

“Polis akan menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengalih atau mengganggu tanda amaran keselamatan jalan,” katanya.

Semalam, media melaporkan Toyota Fortuner dipandu guru, Hassan Shazali, 52, bersama Suzaimah Che Azis, 34, terjunam ke dalam gaung kira-kira jam 5.30 petang Jumaat sebelum kedua-duanya disahkan maut di lokasi akibat kecederaan parah.

Pasangan itu difahamkan dalam perjalanan ke Gua Musang, Kelantan, dan merancang bernikah pada 25 Disember ini. Hassan meninggalkan lima anak berusia 8 hingga 24 tahun, manakala Suzaimah adalah ibu tunggal kepada tiga anak berusia 7, 12 dan 15 tahun.

Jenazah Hassan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedai Menanti, Pasir Puteh pada jam 9.10 malam tadi, manakala jenazah Suzaimah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lebir, Gua Musang pada jam 9.26 malam.

+ - reset