TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Gaduh mulut sampai acu pistol pada jiran, polis tahan lelaki di Laguna Merbok

By
|
Kongsi
image

SUNGAI PETANI 7 Dis – Tindakan seorang lelaki mengugut jirannya dengan mengacukan senjata api di Bandar Laguna Merbok, pagi tadi berakhir dengan penahanannya selepas polis bertindak segera ke lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita warga emas pada jam 8.45 pagi, memaklumkan dia diancam seorang lelaki yang membawa pistol.

Susulan laporan itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dikerahkan ke lokasi dan berjaya memberkas suspek.

“Pemeriksaan di rumah suspek turut menemui objek yang dipercayai senjata yang digunakan untuk mengugut mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Menurut Hanyan, insiden itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap jirannya selepas beberapa pertengkaran sebelum ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung status pemilikan senjata api tersebut.

“Kita akan siasat sama ada suspek mempunyai lesen senjata, tidak berlesen atau memiliki senjata secara haram. Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, mangsa berusia 72 tahun yang enggan dikenali mendakwa suspek tiba-tiba datang menendang pagar rumahnya sebelum menunjukkan pistol di pintu rumah.

“Dia tiba-tiba tunjuk pistol, kemudian sepak pintu. Lepas itu dia pergi duduk belakang sambil minum kopi. Saya pun tak tahu, dia marah dia marah… kita diam saja, banyak kali sudah sabar. Pagi tadi saya telefon ibu dia, cakap saya tak tahan dah,” katanya.

Mangsa berkata, suspek sudah beberapa kali memarahinya tanpa sebab jelas dan kini masih trauma selepas diacu senjata api berkenaan.

Beliau menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap suspek.

+ - reset