TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Budak 5 tahun lemas di kolam renang selepas majlis graduasi tabika KEMAS di Rembau

By
|
Kongsi
image

 

REMBAU 7 Dis – Kesedihan menyelubungi keluarga Noor Muhamad Asun, 46, apabila anak bongsunya, Nur Dhiya Azzalea Noor Muhamad, 5, meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam kolam sebuah rumah kelab di Lenggeng, semalam.

Walaupun baru sehari pemergian kanak-kanak itu, Noor Muhamad tidak mampu menahan rasa rindu ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Rembau, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari, mangsa dipercayai lemas ketika mandi bersama rakan selepas menghadiri majlis graduasi Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di lokasi tersebut.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.

Menurut Noor Muhamad, ketika kejadian beliau berada di tempat kerja, manakala isteri bersama dua anak termasuk arwah berada di rumah kelab berkenaan.

“Saya terasa sangat kehilangan dia. Dia anak yang manja, suka peluk saya, suka bergurau dengan saya di dapur.

“Tapi sekarang semua itu dah tiada. Semalam, bila dia tiada… saya rasa sunyi sangat,” katanya sebak.

Sementara itu, Pengerusi Tabika KEMAS, Habualwazie Bujang berkata, insiden itu berlaku secara mengejut ketika barisan ahli jawatankuasa (AJK) sedang mengemas selepas majlis graduasi yang melibatkan 24 murid.

Katanya, aktiviti mandi tidak termasuk dalam atur cara program dan dilakukan oleh ibu bapa serta anak-anak yang masih berada di situ.

“Kebanyakan ibu bapa sudah pulang, hanya AJK yang tinggal berkemas. Ada anak-anak mandi di kolam sambil diawasi keluarga masing-masing.

“Tiba-tiba kami dikejutkan dengan kejadian itu. Seorang AJK yang juga jururawat sempat memberi bantuan pernafasan kepada mangsa sebelum ambulans tiba,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di HTJ.

Jenazah Nur Dhiya Azzalea selesai dibedah siasat pada kira-kira jam 11.50 pagi dan dibawa pulang ke Mantin untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8.

+ - reset