TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Terima kasih orang baik' - Remaja 15 tahun hilang dua bulan ditemui selamat di Cheras

By
|
Kongsi
image

MELAKA 7 Dis - Selepas dua bulan kehilangan yang meresahkan keluarga dan orang ramai, seorang remaja perempuan, Nur Qasehku Suhaimi, 15, akhirnya ditemui selamat pada Sabtu.

Ibunya, Nurhazlin Mohd Nor, 44, berkata beliau dihubungi sepasang suami isteri yang menemukan Qaseh dalam keadaan baik sebelum bergegas ke Cheras Batu 9 untuk mengambil anaknya.

“Terima kasih kepada orang baik. Nur Qaseh sudah saya temui dalam keadaan baik. Syukur kepada ALLAH SWT kerana menemukan kami kembali. Qaseh kini bersama saya dan sudah mendapatkan rawatan sepatutnya.

“Terima kasih kepada sepasang suami isteri yang menghubungi saya pada jam 6.30 petang. Saya bergegas ke Kuala Lumpur dan mengambil anak saya semula. Keadaan anak saya sihat, cuma agak kurus. Apa pun saya mohon maaf kerana menyusahkan banyak pihak. Berkat doa orang ramai, syukur yang tidak terhingga,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sebelum ini, media melaporkan kehilangan Qaseh sejak 3 Oktober lalu dan polis turut meminta bantuan orang awam menjejakinya selepas remaja itu kali terakhir dilihat di hadapan kedai serbaneka 7-Eleven di Jalan Seri Krubong 2.

Menurut ibunya, Qaseh keluar tanpa membawa telefon bimbit menaiki motosikal untuk membeli minuman ‘air cap badak’ selepas mengadu sakit perut dan kepala sekitar jam 4.30 petang.

Namun pekerja kedai serbaneka tersebut memaklumkan remaja itu tidak masuk ke dalam premis berkenaan.

Sejak kehilangannya, hebahan dibuat di media sosial sebelum pencarian panjang itu akhirnya menemui noktah apabila Qaseh kembali ke pangkuan keluarga.

+ - reset