TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Beyond Education Malaysia raih Anugerah Sumbangan Cemerlang Pendidikan Kesihatan Asia

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 7 Dis – Beyond Education Malaysia mengukuhkan reputasinya di peringkat antarabangsa apabila menerima Outstanding Contribution to Healthcare Education in Asia pada Global Education Award, sekali gus mengiktiraf peranannya dalam memperluas akses pendidikan tinggi dan kesihatan kepada pelajar di seluruh negara.

Sejak ditubuhkan, organisasi itu komited membantu pelajar terutama dalam bidang kesihatan menerusi khidmat rundingan akademik dan kewangan yang diperibadikan. Setakat ini, lebih 4,598 pelajar telah menerima sokongan merangkumi pemilihan pengajian, proses kemasukan serta penyediaan bantuan kewangan.

Beyond Education Malaysia berkata, pengiktirafan tersebut mengukuhkan matlamat mereka untuk menghapuskan halangan struktural dan kewangan yang sering menjadi penghalang kepada pelajar beraspirasi tinggi dalam bidang kesihatan.

Antara inisiatif utama yang dilaksanakan termasuk program bimbingan UPU percuma di seluruh negara, hari terbuka biasiswa berfokus kepada laluan pendidikan kesihatan di IPTS, sokongan menyeluruh bagi urusan akademik dan pembiayaan seperti rayuan IPTA, permohonan PTPTN, MARA, Zakat serta biasiswa lain.

Selain itu, pelajar turut menerima bantuan langsung meliputi yuran penginapan, buku, peralatan pengajian serta latihan persediaan khusus bagi program berkaitan perubatan. Organisasi berkenaan juga menjalinkan kerjasama aktif bersama persatuan mahasiswa di IPTA dan IPTS bagi memperluas jaringan sokongan.

“Pengiktirafan ini mengukuhkan komitmen kami untuk terus memperluas capaian di seluruh negara, memastikan lebih ramai pelajar memperoleh asas pendidikan kesihatan yang kukuh dan bimbingan untuk menjadi profesional kesihatan yang berkompeten serta penyayang,” menurut kenyataan itu.

Beyond Education Malaysia berharap pencapaian ini dapat diketengahkan oleh media tempatan bagi membantu menyampaikan maklumat kepada lebih ramai pelajar yang berminat melanjutkan pengajian kesihatan namun berdepan kekangan maklumat dan kewangan.

+ - reset