TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Murid 10 tahun Whatsapp guru minta gambar tak senonoh' - Fahmi tekankan had umur media sosial perlu dilaksana segera

By
|
Kongsi
image

 

 

PUTRAJAYA 8 Dis – Keperluan menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial kembali menjadi perhatian apabila kerajaan melihat peningkatan insiden membabitkan penyalahgunaan platform digital oleh kanak-kanak seawal usia sekolah rendah.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata langkah itu penting bagi memastikan golongan muda dilindungi daripada eksploitasi dan pendedahan kepada kandungan tidak sesuai di alam maya.

Beliau berkongsi satu insiden membabitkan seorang murid berusia 10 tahun yang meminta gambar tidak senonoh daripada gurunya melalui WhatsApp, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak bagi sekatan umur terhadap media sosial.

Menurut Fahmi, kejadian itu dimaklumkan sendiri oleh seorang guru dari Kuala Lumpur yang menerima mesej berkenaan daripada murid tahun empatnya.

“Kita berharap isu seperti ini dapat diatasi dengan sekatan terhadap platform media sosial dan sistem pemesejan seperti WhatsApp.

"Kita bukan nak halang semua aplikasi, tetapi pada waktu ini kita lihat adalah media sosial.

“Saya percaya pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedia maklum tentang perkara-perkara seperti itu (insiden murid minta gambar guru),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Mega Kempen Internet Selamat 2025 di Pusat Pameran dan Konvensyen IOI City Mall, semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Abdul Halim Hamzah; Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Abdul Karim Fakir Ali; dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Fahmi berkata, kementerian juga sedang bekerjasama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, bagi melaksanakan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) 2024 bagi menjamin keselamatan penggunaan internet.

Menurut beliau, OnSA memperuntukkan denda sehingga RM10 juta, namun kerajaan sedang meneliti mekanisme paling sesuai untuk menguatkuasakan sekatan umur media sosial dengan merujuk model negara lain seperti Australia.

“Kita akan berbincang dengan platform media sosial dalam merangka kerangka yang sesuai dengan Malaysia, contohnya proses pengesahan identiti seperti penggunaan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, atau MyPR dan pasport bagi bukan warganegara.

“Kita juga menghubungi Suruhanjaya Tinggi Australia untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai pelaksanaan dasar itu (had umur), yang akan bermula 10 Dis di negara itu, tapi pihak platform-platform media sosial telah mula sama ada menyekat ataupun melupuskan akaun-akaun yang tidak menepati syarat itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fahmi turut memaklumkan bahawa Kempen Internet Selamat anjuran MCMC akan diteruskan tahun depan selepas berjaya menarik penyertaan 8,462 sekolah melibatkan 369,005 pelajar setakat 30 November lalu.

“Pada awalnya kita menyasarkan 10,000 sekolah. Tahun depan, kita akan pergi ke sekolah seterusnya dan perluaskan lagi kempen ini sebagai Kempen Internet Selamat 2.0 dengan penglibatan lebih banyak komuniti termasuk rukun tetangga, ibu bapa serta rumah ibadat,” katanya.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan bahawa fokus pada 2026 ialah memperluas kempen itu ke sekolah, IPT serta pengguna internet lain seperti warga emas, belia dan ibu bapa.

Sebelum ini, kempen berkenaan turut melibatkan komuniti, agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat melalui 466 program membabitkan 287,939 peserta.

Karnival Mega Kempen Internet Selamat semalam turut menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk Pertandingan Akhir Debat antara IPT, forum keselamatan dalam talian, pameran oleh agensi berkaitan serta aktiviti interaktif yang menarik hampir 3,000 pengunjung.

+ - reset