TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelajar Tingkatan 2 maut ditembak ketika main sembunyi-sembunyi di Keningau

By
|
Kongsi
image

 

KENINGAU 8 Dis – Aktiviti bermain sembunyi-sembunyi bertukar tragedi apabila seorang pelajar Tingkatan Dua maut selepas terkena tembakan senapang buatan sendiri atau bakakuk dalam kejadian di halaman sebuah rumah di Jalan Kem PPH, semalam.

Menurut laporan Berita Harian, insiden berlaku kira-kira jam 8 pagi ketika mangsa berusia 14 tahun bermain bersama rakannya sebelum remaja itu secara tidak sengaja melepaskan tembakan dari jarak kira-kira tiga meter.

Mangsa yang rebah dengan 14 kesan tembakan pada badan segera dihantar penduduk kampung ke Hospital Keningau namun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Unit Kecemasan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata siasatan awal mendapati rakan mangsa yang juga berusia 14 tahun ternampak mangsa memegang bakakuk di hadapan rumah sebelum meminta senjata tersebut untuk bergurau.

"Ketika bermain sembunyi-sembunyi, mangsa bersembunyi di bawah kolong rumah sebelum suspek dipercayai tidak sengaja menarik picu senjata lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa.

"Suspek panik lalu meminta bantuan orang kampung yang kebetulan melintas sebelum mangsa dibawa ke hospital," katanya.

Menurut beliau, pemeriksaan doktor menemukan 14 kesan tembakan pada beberapa bahagian tubuh termasuk dada kanan, lengan kanan, lutut dan sisi kiri badan mangsa.

Siasatan lanjut juga mendapati senjata itu disembunyikan seorang lagi remaja lelaki berusia 13 tahun, adik kepada suspek, manakala pemilik bakakuk tersebut ialah bapa mereka, seorang warga emas berusia 70 tahun.

"Ketiga-tiga beranak ditahan untuk siasatan lanjut. Polis turut merampas bakakuk, peluru hidup, kelongsong peluru, pakaian suspek serta dua telefon bimbit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

+ - reset