TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ahli Parlimen Padang Serai didakwa bersubahat terima rasuah RM400,000

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 8 Dis – Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat menerima rasuah RM400,000 berkaitan projek penternakan lembu milik Kerajaan Negeri Kedah, lima tahun lalu.

Azman, 53, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Menurut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan seorang ahli perniagaan, Amar Assuat Abu Bakar, 41, untuk melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, iaitu Amar Assuat didakwa secara rasuah menerima suapan wang tunai RM400,000 daripada Mohd Hassanaim Fauzi.

Suapan itu didakwa sebagai upah membantu Mohd Hassanaim memperoleh Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro, Mukim Sungai Laka, Kubang Pasu daripada Kedah Agro Holding Berhad (KAHB).

Kesalahan itu didakwa dilakukan melalui persubahatan Azman yang mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif KAHB mengeluarkan surat tawaran kepada Mohd Hassanaim bagi projek berkenaan.

Perbuatan itu didakwa berlaku di tepi Jalan Medan Pusat 2D, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi pada jam 5 petang, 23 Jun 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin Ahmad mencadangkan jaminan RM100,000 serta syarat tambahan supaya pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam N. Surendran yang mewakili Azman membantah cadangan itu dengan alasan jumlah tersebut terlalu tinggi, selain memaklumkan anak guamnya menanggung isteri yang tidak bekerja, lima anak serta ibu berusia 82 tahun.

Selain Surendran, Azman turut diwakili peguam Sasha Lyna Abdul Latif, Nizamuddin Hamid, Shahid Adli dan Afiq Nordin.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM75,000 dengan seorang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh diwajibkan melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM terdekat.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 Januari depan.

+ - reset