TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KKR nafi JKR alih penghadang keselamatan di lokasi SUV terjunam gaung

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 8 Dis – Kementerian Kerja Raya (KKR) menegaskan Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak pernah mengalihkan penghadang keselamatan (barrier) di lokasi kejadian sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terjunam ke dalam gaung seperti didakwa penduduk setempat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sekiranya benar barrier tersebut dialihkan, ia bukan dilakukan oleh JKR yang sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP), terutama di kawasan cerun atau lokasi berisiko runtuhan.

“Jika benar dialihkan, ia bukan dilakukan oleh JKR. Kita sentiasa ikut SOP, terutama di lokasi yang mempunyai isu cerun atau keruntuhan.

“Langkah keselamatan memang kita ambil. Jadi, kalau dakwaan itu betul, kita perlu tahu siapa yang mengalihkan barrier tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan KKR di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan mengikut SOP JKR dan pihaknya masih meneliti punca sebenar kejadian.

“Pasukan kita turun ke lokasi dan membuat pemeriksaan mengikut SOP JKR. Buat masa ini, kita belum tahu punca sebenar,” katanya.

Alexander turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan.

“Jika ada sesiapa yang tahu, maklumkan kepada kita. Kita juga ada bilik gerakan bencana bagi memantau cerun, banjir dan semua faktor yang boleh menyebabkan kerosakan jalan atau mengancam keselamatan pengguna,” katanya.

Pada Jumaat lalu, media melaporkan sebuah Toyota Fortuner yang dinaiki seorang guru, Hassan Shazali, 52, dan Suzaimah Che Azis, 34, terjunam ke dalam gaung kira-kira pukul 5.30 petang, mengakibatkan kedua-duanya maut di lokasi akibat kecederaan parah.

+ - reset