TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KKM perincikan langkah pengharaman vape sebelum dibawa ke Kabinet

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 9 Dis - Proses pengharaman vape kini disusun dengan lebih teliti melalui penelitian undang-undang mendalam serta libat urus menyeluruh, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

Beliau menjelaskan bahawa perancangan semasa mengambil kira pengalaman terdahulu bagi memastikan dasar yang bakal dibentangkan ke Parlimen nanti kukuh, berfungsi dan tidak berdepan masalah perundangan seperti sebelum ini.

Menurut Dzulkefly, dasar pengharaman vape itu kini dalam peringkat dimuktamadkan dan dijangka dibawa kepada Jemaah Menteri tahun ini untuk pertimbangan serta kelulusan.

“KKM ingin menegaskan bahawa komitmen ke arah pengharaman penuh vape adalah jelas dan berterusan.
“Cadangan dasar ini akan menjadi asas kukuh sebelum pelaksanaan larangan sepenuhnya dijalankan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk C. Sivaraj mengenai keyakinan rakyat terhadap pengharaman penuh vape, memandangkan komponen Generational End Game (GEG) – yang pernah diluluskan prinsipnya – dibatalkan akibat isu perundangan dan tekanan kepentingan.

Sivaraj turut bertanya apakah jaminan bahawa kegagalan GEG tidak akan berulang.

Mengulas lanjut, Dzulkefly yakin pengalaman lalu menjadi panduan untuk memastikan situasi sama tidak berulang.

“Kementerian juga terus mengukuhkan kerjasama dengan agensi kerajaan, badan profesional dan masyarakat melalui pendekatan whole-of-nation bagi menjamin pelaksanaan dasar ini lebih teratur dan berkesan,” katanya.

Sebelum ini, Dzulkefly memaklumkan bahawa KKM sedang memuktamadkan perincian memorandum Jemaah Menteri berkaitan pengharaman rokok elektronik atau vape sebelum ia dibentangkan kepada Kabinet.
Namun, perinciannya belum boleh didedahkan kerana memorandum itu masih belum dibentangkan.

+ - reset