TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penempatan sekolah di Putrajaya, isu alamat ‘dummy’ dibawa ke KPM

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 9 Dis – Isu segelintir penjaga menggunakan alamat ‘dummy’ bagi mendapatkan penempatan anak ke sekolah sekitar Putrajaya kini dipanjangkan kepada Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, beliau juga memohon perjumpaan dengan pihak berkenaan bagi membincangkan masalah yang berbangkit.

Radzi memaklumkan, beliau menerima aduan daripada ibu bapa mengenai anak-anak mereka ditempatkan di sekolah jauh daripada kawasan kediaman sebenar. Dalam beberapa kes, anak-anak yang tinggal di luar kawasan berjaya mendapat tempat di sekolah sekitar Putrajaya dengan menggunakan alamat palsu ketika membuat permohonan.

“Antara aduan yang diterima, seorang murid prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 5(1) tidak ditawarkan tempat darjah satu di sekolah sama. Sebaliknya, murid itu ditempatkan di SK Putrajaya Presint 8(3), walhal abangnya yang akan memasuki darjah tiga masih bersekolah di Presint 5(1),” katanya dalam hantaran di Facebook.

Tambah Radzi, ramai penjaga dipercayai menggunakan alamat ‘dummy’ untuk mendapatkan keutamaan penempatan sekolah. Beliau menegaskan bahawa aduan itu dipanjangkan untuk mencari penyelesaian terbaik agar penempatan sekolah diuruskan secara adil dan memudahkan ibu bapa serta anak-anak warga Putrajaya.

Radzi berharap pihak terlibat memberi perhatian serius terhadap isu ini dan mengambil tindakan segera. Beliau menegaskan penempatan sekolah bagi sesi 2026 perlu diuruskan dengan telus, di mana keutamaan diberikan kepada penduduk yang tinggal berdekatan dengan sekolah.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa ibu bapa tidak puas hati dengan penempatan anak ke sekolah lebih jauh akibat kegiatan menggunakan alamat ‘dummy’. Aktiviti ini mula dikesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila larangan rentas negeri dan daerah berkuat kuasa.

Dalam hantaran terbaru di aplikasi Thread, pengguna @Hasanahabdullah3883 menyatakan rasa syukur kerana kebimbangan yang disuarakan mendapat perhatian Radzi.
“Alhamdulillah, hantaran saya tentang ‘dummy address’ mendapat perhatian YB. Semoga isu penempatan anak-anak ke sekolah berdekatan dapat diselesaikan sebaik mungkin,” katanya.

+ - reset