TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hatyai banjir, tempahan hotel di Langkawi naik 90 peratus buat pertama kali tahun ini

By
|
Kongsi
image


 

LANGKAWI 9 Dis - Sektor pelancongan Langkawi kembali bergelora apabila kadar penginapan hotel di pulau legenda itu buat pertama kali tahun ini melonjak melebihi 90 peratus menjelang cuti sekolah dan sambutan Krismas minggu depan.

Kenaikan mendadak itu dipercayai berpunca daripada pilihan ribuan pelancong yang memilih Langkawi sebagai destinasi alternatif selepas bandar Hatyai di Thailand berdepan banjir besar sehingga menjejaskan sektor pelancongan di sana.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin, berkata industri pelancongan kini bersiap siaga menerima limpahan pengunjung dalam tempoh dua minggu terakhir bulan ini.

"Berdasarkan maklumat, kadar tempahan hotel di Pantai Cenang dan Pantai Tengah, selain beberapa hotel sekitar pekan Kuah sudah mencecah lebih 90 peratus.

Justeru, kita sasar 400,000 pelancong berkunjung ke pulau ini bulan ini," katanya pada sidang media selepas program Jalinan Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITE) di Parkroyal Langkawi Resort di sini, malam tadi.

Beliau berkata unjuran itu munasabah kerana Disember adalah musim kemuncak pelancongan, ditambah pula promosi ‘Langkawi Special Deals’ yang menawarkan diskaun sehingga 70 peratus.

"Pertambahan ketibaan pelancong bulan ini dijangka membantu memastikan sasaran 3.5 juta pelancong ke Langkawi tahun ini tercapai.

Sehingga 30 November lalu, Langkawi mencatatkan 2.75 juta ketibaan pelancong," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa penganjuran acara berskala besar seperti Half Marathon Antarabangsa Langkawi 2025 menyumbang kepada peningkatan jumlah pengunjung, dengan kehadiran lebih 20,000 peserta dan ahli keluarga ke pulau itu tiga hari lalu.

Mengulas lanjut mengenai penganjuran LITE yang kini memasuki edisi ketiga, Wan Kamarul Faisal berkata program berkenaan menghimpunkan 60 pembeli dari China, India, Taiwan dan Brunei bersama 100 penjual daripada 50 syarikat pelancongan Langkawi.

"Perwakilan dibawa melihat secara dekat landskap Geopark Global UNESCO Langkawi, selain pendedahan kepada pelbagai hospitaliti daripada penginapan mewah kepada produk pelancongan berasaskan komuniti," katanya.


+ - reset