TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes rasuah fidlot: 'Saya bukan Menteri Besar ketika itu' - Sanusi

By
|
Kongsi
image

ALOR SETAR 9 Dis - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan bahawa Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot yang kembali menjadi perhatian susulan pendakwaan terbaharu di mahkamah bukanlah projek di bawah pentadbirannya.

Beliau berkata, projek berkenaan dirancang dan dilaksanakan ketika Kedah dipimpin Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar pada 2020, manakala Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasruddin — yang didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam — adalah antara EXCO kerajaan negeri ketika itu.

"Saya tak tahu, (kejadian) itu zaman sebelum saya jadi Menteri Besar... sebelum tahun 2020. Saya tak tahu kejadian dan peristiwa itu, saya pun tak pasti dan tengok surat khabar sahaja.

"Tapi yang bagi (rasuah) orang lain, yang ambil orang lain, yang kena orang lain. Itu pelik juga, dia (Azman) pun ada buat sidang media terangkan pendakwaan bermotif politik," katanya.

Muhammad Sanusi berkata demikian selepas merasmikan Majlis Peluncuran Kedah Digital Blueprint 2025-2050 di Wisma Darul Aman, hari ini.

Menurut beliau, projek fidlot berkenaan sepatutnya dikendalikan Kedah Agro Holding Berhad (KAHB), namun syarikat itu sudah tidak beroperasi selepas ditutup tahun lalu melalui pelaksanaan Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

"Kedah Agro sudah ditutup. Bila tutup makna tak ada aktiviti, tutup buku. Kedah Agro tutup apabila kita buat VSS dan hentikan operasi.

"Sekarang ada syarikat swasta ambil alih Kedah Agro. Ini kes lama sebelum 2020, Menteri Besar orang lain, EXCO pun orang lain. Beliau (Azman) salah seorang EXCO pada masa itu," katanya.

Semalam, Azman dan ahli perniagaan Amar Assuat Abu Bakar didakwa atas pertuduhan rasuah berhubung Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro.

Mengikut pertuduhan, Azman didakwa bersubahat dengan Amar Assuat menerima RM400,000 daripada seorang individu sebagai dorongan mendapatkan projek ternakan itu daripada KAHB pada 23 Jun 2020 di Bandar Baru Bangi.
Azman mengaku tidak bersalah.

+ - reset