TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ketua DAP Sabah nafi hantar surat cadang pelantikan dalam kerajaan negeri

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 9 Dis – Ketua DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, menafikan dakwaan beliau menghantar surat mencadangkan pelantikan pemimpin parti itu dalam kerajaan negeri kepada Ketua Menteri Hajiji Noor, seperti tular di media sosial.

Phoong menegaskan surat tersebut tidak sah kerana beliau tidak pernah menghantar sebarang surat kepada Hajiji sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November lalu.

“Draf surat bertarikh 5 Disember yang kelihatan seperti dirakam daripada skrin komputer itu tidak mengandungi tandatangan mahupun cop rasmi saya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut mengulangi pendirian DAP Sabah untuk tidak menyertai kerajaan negeri, selaras dengan kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat kepimpinan negeri pada 7 Disember lepas.

“DAP Sabah akan terus kembali kepada rakyat, berkhidmat untuk mereka selangkah demi selangkah demi mengembalikan semula kepercayaan rakyat,” jelasnya.

Terdahulu, surat yang tular di media sosial didakwa dihantar dari pejabat Phoong kepada Hajiji, dengan cadangan pelantikan pengerusi, timbalan pengerusi atau ahli lembaga pengarah bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah.

Minggu lalu, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, dilaporkan berkata parti itu tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan Sabah, termasuk ADUN lantikan, dan akan terus berkhidmat secara aktif untuk rakyat negeri itu.

PRN Sabah ke-17 menyaksikan DAP kalah semua lapan kerusi yang ditandinginya – Luyang, Kapayan, Tanjung Papat, Tanjung Aru, Kemabong, Elopura, Sri Tanjong dan Likas. Ini kali pertama sejak 2004, parti itu tiada wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, selepas enam kerusi yang dimenangi pada PRN 2020 hilang kepada Warisan akibat perubahan sokongan pengundi masyarakat Cina.

+ - reset