TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Majikan terbeban, Guan Eng gesa kerajaan mansuh penalti RM10,000 SIP

By
|
Kongsi
image


 

KUALA LUMPUR 9 Dis - Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggesa kerajaan memansuhkan penalti RM10,000 di bawah Seksyen 45F pindaan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang diluluskan Dewan Rakyat pada 2 Disember lalu, kerana dianggap membebankan majikan dan tidak praktikal.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, pindaan berkenaan mewajibkan majikan memaklumkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengenai sebarang kekosongan atau pewujudan jawatan baharu dalam tempoh tujuh hari, dan kegagalan berbuat demikian boleh membawa implikasi kewangan besar.

Menurutnya, penalti RM10,000 bagi setiap pelanggaran mampu menyebabkan jumlah keseluruhan melonjak tinggi sekiranya beberapa kekosongan berlaku pada masa berbeza.

“Sekiranya ada lima kekosongan jawatan atau pewujudan jawatan baharu yang berlaku dalam masa berlainan dalam tempoh lima minggu, majikan mungkin dikenakan penalti sebanyak RM50,000 sekira gagal mematuhinya.

“Jumlah penalti ini hanya akan tambah berlambak sekiranya jawatan kosong berlipat ganda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, Seksyen 45F wajar dimansuhkan ketika pindaan itu dibahaskan di Dewan Negara kerana Dewan Negara mempunyai kuasa untuk membuat pindaan sebelum ia dirujuk kembali kepada Dewan Rakyat.

Beliau yakin Ahli Parlimen akan bersetuju memansuhkannya sekiranya ia dibawa semula untuk kelulusan.

“PERKESO nampaknya melakukan kesilapan dengan tidak mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum pindaan SIP diluluskan pada 2 Disember 2025.

“Dalam kenyataan bertarikh 4 Disember 2025, PERKESO cuba meredakan kemarahan majikan dengan mengumumkan moratorium penguatkuasaan selama dua tahun dan menjaminkan penguatkuasaan penalti sebanyak RM10,000 hanya akan dilaksanakan selepas sesi libat urus dijalankan dengan wakil majikan dan pihak berkepentingan,” katanya.

Guan Eng turut mempersoalkan tindakan PERKESO yang hanya merancang mengadakan libat urus selepas pindaan diluluskan, sedangkan Ahli Parlimen kerajaan sebelum ini beranggapan proses itu sudah dilaksanakan sebelum pembentangan.

“Soalannya ialah mengapa PERKESO hanya bercadang membuat libat urus pada 4 Disember 2025 selepas pindaan SIP diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 2 Disember 2025 dan bukan sebelum 2 Disember 2025.

“Moratorium dua tahun ini tidak bermakna langsung kerana akhirnya penalti RM10,000 akan dikuatkuasakan juga.

“Kenyataan PERKESO bertarikh 4 Disember 2025 ini mengejutkan kerana tanggapan Ahli Parlimen Kerajaan selama ini ialah bahawa PERKESO telah menjalankan libat urus dan mendapat persetujuan pemegang taruh sebelum ia dibentangkan dan diluluskan,” katanya.

Beliau menegaskan, keadaan itu mencemarkan proses kelulusan pindaan SIP dan perlu diperbetulkan sama ada dengan memansuhkan Seksyen 45F sepenuhnya, mengecualikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), atau mengurangkan penalti bagi syarikat besar kepada hanya RM100.

+ - reset