TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Malaysia yakin gencatan senjata Thailand–Kemboja bermula 10 malam ini

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 9 Dis - Malaysia menjangkakan gencatan senjata di sempadan Thailand–Kemboja dapat bermula jam 10 malam ini susulan siri rundingan intensif melibatkan kepimpinan tertinggi kedua-dua negara dan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) Malaysia.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, beliau bersama pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada di Kemboja semalam bagi menghadiri mesyuarat hampir dua jam dengan Perdana Menteri negara itu, disusuli pertemuan bersama kepimpinan tentera dan Menteri Pertahanan.

Menurutnya, pertemuan itu memberi tumpuan kepada situasi tegang di sempadan serta permintaan supaya Malaysia terus memainkan peranan sebagai mediator bagi memastikan perjanjian terdahulu dipatuhi.

Nizam turut membawa perkara sama ketika tiba di Bangkok semalam, namun sebaik tiba, ketegangan memuncak sehingga berlaku tembakan balas antara kedua-dua negara sebelum keadaan kembali reda pagi ini.

Beliau berkata, Malaysia mengusulkan supaya perbincangan tidak rasmi segera diadakan antara Thailand dan Kemboja bagi meredakan keadaan.

Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghubungi kedua-dua pemimpin negara terbabit untuk mendesak pelaksanaan segera gencatan senjata malam ini.

Mengulas potensi kejayaan gencatan senjata, Mohd Nizam menzahirkan keyakinan namun mengingatkan bahawa proses itu tidak berlaku serta-merta.

“Mungkin masih berlaku tembakan sporadis, tetapi bukan melibatkan senjata berat. Tempoh bertenang itu normal,” katanya kepada Buletin TV3.

Tambahnya, usaha membawa kedua-dua negara kembali ke meja rundingan amat penting kerana keamanan adalah kepentingan bersama, berlandaskan tiga prinsip utama: keamanan itu mahal, nyawa itu berharga dan masa itu penting.

Sementara itu, beliau turut bertemu ketua angkatan tentera Thailand hari ini bagi mengesahkan beberapa isu yang dibangkitkan Kemboja dan menyediakan makluman kepada AOT untuk menentukan tindakan lanjut.

Mandat AOT dijadual tamat pada 25 Januari 2026, namun sebarang penamatan memerlukan persetujuan kedua-dua negara dan syarat seperti penurunan lebih 60 peratus terhadap eskalasi serta pelanggaran gencatan senjata.

Mohd Nizam menegaskan Malaysia tidak mencampuri urusan dua hala Thailand–Kemboja, sebaliknya hanya menggesa pelaksanaan segera gencatan senjata dan memastikan mekanisme sedia ada seperti GBC dan JBC berfungsi dengan berkesan.

+ - reset