TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tiga maut termasuk bayi tujuh bulan dalam nahas dua kenderaan di Bukit Sentosa

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 12 Mac – Tiga individu termasuk seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di simpang Jalan Bunga Kertas, Bukit Sentosa, Hulu Selangor hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 9.45 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 9 pagi ketika motosikal dari arah Taman Widuri menuju ke Sungai Choh.

"Sampai di lokasi, tiba-tiba kereta dari arah bertentangan membelok ke kanan menyebabkan motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggar sisi kiri," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mereka adalah penunggang motosikal berusia 25 tahun yang bekerja sebagai jurujual dan penumpang tempat duduk belakang kereta iaitu wanita warga emas berusia 88 tahun.

"Pemandu dan penumpang hadapan kereta iaitu lelaki dan wanita masing-masing berumur 60 tahun cedera ringan dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh," katanya.

Menurutnya, bayi lelaki yang dipangku oleh penumpang belakang turut cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di hospital sama pada pukul 11 pagi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat di talian 03-60641222," katanya.

+ - reset