Berita Berita
Malaysia juara dunia sepak takraw, Thailand tinggalkan gelanggang
KUALA LUMPUR 24 Mei – Malaysia melakar sejarah apabila muncul juara Sepak Takraw World Cup 2026 selepas menewaskan musuh tradisi, Thailand 2-1 dalam aksi final penuh dramatik di Stadium Titiwangsa malam tadi.
Namun kejayaan bersejarah skuad negara itu dicemari kontroversi apabila pasukan Thailand bertindak meninggalkan gelanggang ketika aksi regu penentuan susulan tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil dari Singapura, Mohd Radhi Che Mei.
Situasi tegang tercetus pada set kedua regu ketiga ketika Thailand berada di ambang kemenangan dengan mendahului 14-13.
Bagaimanapun, pengadil menghadiahkan mata kepada Malaysia selepas mendapati pemain Thailand melakukan kesalahan apabila kaki melebihi garisan gelanggang ketika melakukan libasan.
Keputusan itu menyaksikan kedudukan terikat 14-14 sebelum kem Thailand memprotes keputusan tersebut dan enggan meneruskan permainan.
Perlawanan kemudian tertangguh hampir 30 minit sebelum barisan pengadil mengesahkan kemenangan berpihak kepada Malaysia selepas Thailand kekal dengan keputusan untuk tidak kembali ke gelanggang.
Pengurus skuad sepak takraw negara, Abu Jimi Samat berkata, keputusan pengadil dibuat berdasarkan kesalahan pemain Thailand yang melebihi garisan bawah jaring.
"Pengadil menolak bantahan dibuat Thailand kerana tiada bantahan untuk garisan bawah jaring. Yang ada bantahan melebihi jaring, bantahan garisan tepi dan bantahan servis.
"Keputusan pengadil itu betul sebenarnya sebab memang kaki pemain Thailand itu lebih. Saya tengok sendiri," katanya selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, pengurus Thailand, Auychai Srisuwan mendakwa pasukannya berdepan pengadilan berat sebelah sejak awal permainan.
"Kami sudah kerugian tiga mata setiap set disebabkan pengadilan yang berat sebelah dan sebab itu kami tidak mahu meneruskan perlawanan," katanya.
Terdahulu, Malaysia memulakan aksi dengan cemerlang menerusi regu pertama dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi yang menewaskan trio Thailand 15-9, 13-15, 15-12.
Thailand kemudian bangkit menyamakan kedudukan menerusi regu kedua selepas gandingan negara dibarisi Muhammad Haziq Mohd Rosdi, Mohammad Azlan Alias dan Farhan Adam tewas 6-15, 10-15.
Pada aksi penentuan, trio negara Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Hafizul Hayazi Adnan dan Amirul Zazwan Amir terlebih dahulu memenangi set pertama 15-13 sebelum drama kontroversi tercetus pada set kedua.
Kejayaan itu menyaksikan Malaysia merangkul trofi Piala Dunia buat kali pertama selain membalas kekalahan kepada Thailand pada final edisi 2024.
Lebih manis, kemenangan tersebut mengukuhkan kebangkitan skuad negara selepas turut menewaskan Thailand pada final acara regu berpasukan Southeast Asian Games 2025 Disember lalu.
Ia juga menjadi gelaran kedua Malaysia pada kempen Piala Dunia kali ini selepas muncul juara acara kuadran dengan menewaskan India 2-0 pada final Selasa lalu.
Berita berkaitan
May 24, 2026, 1:09 pm
Pemain ragbi Sukma meninggal dunia semasa latihan
May 24, 2026, 12:42 pm
Nazri Prem Nasir angkat suara belia Malaysia ke pentas dunia, bantu lebih 15,000 komuniti
May 24, 2026, 12:10 pm
Lelaki ditemukan mati dalam kereta ada 20 rekod jenayah dan narkotik di Baling
May 24, 2026, 9:46 am
Remaja perempuan maut, lapan cedera dalam dua kemalangan di Perak
May 23, 2026, 1:43 pm
Rayer menang saman fitnah, netizen diperintah bayar RM100,000
May 23, 2026, 1:08 pm
Malaysia perlu kurangkan kebergantungan kepada buruh asing - Anwar
May 23, 2026, 12:52 pm
Amirudin teruk dikecam jawab tak jumpa tanah untuk bina hospital awam baru di PJ
May 23, 2026, 10:23 am
Anwar hubungi Vijay Thalapathy, maklumkan kemungkinan ke Tamil Nadu
May 23, 2026, 9:33 am
