TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Menyusahkan orang' - Pempengaruh Ija rupanya larikan diri ke Thailand, sepakat dengan adik buat laporan palsu

By
|
Kongsi
image

MUAR 19 Julai – Kehilangan pempengaruh media sosial dikenali sebagai ‘Ija’ atau nama sebenarnya Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, rupa-rupanya hanyalah satu sandiwara yang dirancang bersama adiknya demi kepentingan peribadi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan mendapati lelaki itu dipercayai menenggelamkan kereta milik isterinya di Sungai Tui, Lenga sebelum melarikan diri ke negara jiran.

Laporan kehilangan dibuat adiknya, Tengku Abd Aziz, 30, pada 15 Julai lalu dipercayai bertujuan mengaburi pihak berkuasa.

"Mangsa, Tengku Nizaruddin sebelum itu dikatakan hilang selepas memaklumkan bahawa dia dalam perjalanan ke Muar untuk membaiki kenderaan.

"Adiknya tampil membuat laporan polis di Balai Polis Lenga sehingga membawa kepada pelancaran operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Namun, siasatan mendapati terdapat unsur penipuan dalam laporan tersebut dan adik mangsa mengaku bersubahat serta sengaja berpura-pura menjalankan usaha pencarian bagi mengelirukan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua individu sudah diambil keterangan dan siasatan lanjut akan diteruskan selepas pihak polis memperoleh kebenaran menyiasat (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam dan Seksyen 109 kerana bersubahat melakukan kesalahan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Raiz Mukhliz turut menegaskan bahawa tindakan membuat laporan palsu adalah satu kesalahan serius yang boleh menjejaskan sumber dan keutamaan tugasan pihak berkuasa.

+ - reset