Berita Berita
PN pernah tawar jawatan TPM kepada BN selepas PRU15 – Marzuki Mohamad

SHAH ALAM 20 Julai – Bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri kelapan, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendedahkan wujud bukti bertulis bahawa Perikatan Nasional (PN) pernah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, surat tawaran tersebut menunjukkan PN turut menawarkan jawatan Kabinet dan beberapa jawatan kerajaan lain sebagai sebahagian daripada rundingan pembentukan kerajaan selepas PRU15.
Pendedahan itu dibuat bagi menyangkal kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mendakwa kononnya PN tidak mengemukakan sebarang tawaran kepada BN dan memandang rendah kepada parti itu.
“Saya menonton satu video podcast Rafizi yang mendakwa PN tidak membuat sebarang tawaran kepada BN. Malah beliau mendakwa Tan Sri Muhyiddin memandang rendah kepada UMNO. Itu satu pembohongan.
“Saya berada dalam rundingan tersebut dari awal hingga akhir. Rundingan berjalan dalam suasana muhibah. Tidak pernah sekali pun Muhyiddin memperkecilkan UMNO,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Marzuki menjelaskan bahawa delegasi BN yang diketuai Datuk Seri Mohamad Hasan telah meminta agar semua tawaran PN dikemukakan secara bertulis untuk dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada malam 23 November 2022.
Selepas rundingan, katanya, beliau bersama Setiausaha Agung PN ketika itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyediakan surat tawaran rasmi dan menyerahkannya kepada pihak BN pada hari yang sama.
Namun, beliau terkejut apabila membaca kenyataan media pada lewat malam bahawa MKT UMNO membuat keputusan untuk menolak kerjasama dengan PN dan memilih untuk bersama Pakatan Harapan (PH) sebagai rakan gabungan kerajaan.
“Saya terdiam. Tetapi apa boleh buat, keputusan sudah dibuat. Saya bukan orang penting tetapi saya terlibat dalam banyak rundingan. Bila ada pembohongan, adalah tanggungjawab saya untuk menyatakan kebenaran,” katanya. – Media Telus
Berita berkaitan
July 20, 2025, 2:52 pm
Polis kesan pemilik Proton Saga dipandu kanak-kanak 11 tahun hingga terbabas
July 20, 2025, 2:47 pm
Empat kawasan di Semenanjung catat IPU tidak sihat, Nilai tertinggi
July 20, 2025, 2:38 pm
PM jamin pengumuman besar minggu hadapan bantu redakan keresahan rakyat
July 20, 2025, 2:28 pm
Pelakon wanita buat laporan polis, nafi jadi punca keretakan rumah tangga selebriti
July 20, 2025, 2:23 pm
Kerajaan Madani kukuh hasil perpaduan antara parti gabungan - PM
July 20, 2025, 8:00 am
Tujuh ditahan positif dadah, 146 saman dikeluarkan dalam Op Perdagangan
July 20, 2025, 7:33 am
JPJ Pahang nafi keluarkan permit perjalanan palsu guna nama pengarah negeri
July 19, 2025, 8:22 pm
'Saya tidak akan turun, saya tak curi duit rakyat' - Anwar
July 19, 2025, 5:14 pm