Berita Berita
AKPS nafi video deepfake kaitkan Ketua Pengarah promosi khidmat pasport
KUALA LUMPUR 6 Ogos – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menafikan video tular di TikTok yang mengaitkan Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dengan promosi khidmat berkaitan pasport.
Dalam satu kenyataan hari ini, AKPS menjelaskan bahawa video berdurasi 18 saat itu adalah palsu dan dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi teknik ‘deepfake’.
“Video dimuat naik oleh pemilik akaun 'Hermano Kedutaan' itu adalah satu cubaan berniat jahat untuk menjatuhkan imej, mencemarkan reputasi serta menjejaskan integriti Ketua Pengarah,” kata agensi tersebut.
Menurut AKPS lagi, kandungan berkenaan sengaja dimanipulasi untuk mengelirukan orang awam dan menggesa orang ramai agar tidak terpengaruh serta tidak menyebarkan video terbabit.
“Penyebaran kandungan palsu merupakan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Orang ramai perlu sentiasa berwaspada dengan kandungan yang disiarkan terutama berkaitan tokoh awam,” menurut kenyataan itu.
Tambah AKPS, kemajuan teknologi AI sewajarnya dimanfaatkan secara beretika, bukannya untuk tujuan memfitnah dan menjatuhkan maruah individu.
“Agensi ini memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam penghasilan serta penyebaran video palsu berkenaan,” katanya.
Video yang tular itu menunjukkan seolah-olah Mohd Shuhaily mempromosikan pihak bernama 'Hermono' sebagai individu yang boleh membantu menyelesaikan isu berkaitan pasport dan dokumen lain. – Media Telus
Berita berkaitan
June 6, 2026, 6:43 pm
Jaslinda hilang lebih dua minggu ditemui selamat oleh penduduk Orang Asli
June 6, 2026, 5:07 pm
Budak jumpa mayat lelaki dalam longkang dipercayai mangsa langgar lari di Tasek Gelugor
June 6, 2026, 2:39 pm
Zahid jumpa MCA, MIC esok muktamad agihan kerusi PRN Johor
June 6, 2026, 12:10 pm
Krisis Negeri Sembilan: Dari perebutan sokongan hingga DUN dibubar, apa sebenarnya berlaku?
June 5, 2026, 8:34 pm
