Berita Dunia
Bekas Ketua Hakim Negara, Sushila Karki dilantik Perdana Menteri Nepal
KATHMANDU 13 Sept – Bekas Ketua Hakim Negara Nepal, Sushila Karki, 73, hari ini mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri bagi mengetuai kerajaan peralihan sehingga pilihan raya umum pada Mac 2026.
Karki, yang pernah mencatat sejarah sebagai ketua hakim wanita pertama Nepal, mengangkat sumpah di hadapan Presiden Ram Chandra Paudel dalam satu majlis ringkas di istana presiden yang turut dihadiri diplomat serta beberapa bekas pemimpin.
“Saya, Sushila Karki, mengangkat sumpah atas nama negara dan rakyat untuk menunaikan kewajipan saya sebagai perdana menteri,” katanya.
Pelantikannya dibuat selepas gelombang protes antirasuah menggulingkan kerajaan terdahulu, mengakibatkan sekurang-kurangnya 51 orang terbunuh dan ratusan cedera, kekacauan terburuk sejak berakhirnya perang saudara dan pemansuhan monarki pada 2008.
Perdana Menteri terdahulu, KP Sharma Oli, meletakkan jawatan Selasa lalu selepas bangunan Parlimen dan pejabat kerajaan dibakar.
Susulan itu, tentera mengambil alih kawalan, menguatkuasakan perintah berkurung bagi mengembalikan ketenteraman.
Pelantikan Karki dipersetujui selepas dua hari rundingan sengit antara Presiden Paudel dan Ketua Tentera, Jeneral Ashok Raj Sigdel, dengan penglibatan wakil gerakan belia yang dikenali sebagai ‘Gen Z’.
Ribuan aktivis muda yang menggerakkan protes menggunakan aplikasi Discord menamakan Karki sebagai calon pilihan mereka.
Selepas upacara angkat sumpah, Parlimen Nepal dibubarkan dan tarikh pilihan raya umum ditetapkan pada 5 Mac 2026.
Karki, yang terkenal dengan pendirian bebasnya, hanya tersenyum dan tunduk sebagai tanda penghargaan tanpa menyampaikan ucapan.
Nepal, dengan populasi 30 juta, kini berdepan masalah ekonomi serius apabila kadar pengangguran belia mencecah 20 peratus, manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita hanya AS$1,447 (RM6,084). - Agensi
Berita berkaitan
April 13, 2026, 10:41 am
Harga minyak global melonjak semula susulan sekatan AS ke atas Selat Hormuz
April 10, 2026, 1:15 pm
Trump beri amaran kepada Iran henti caj kapal tangki minyak lalu Selat Hormuz
April 6, 2026, 8:00 pm
Kapal pertama Malaysia melepasi Selat Hormuz, Iran tunai janji kepada 'rakan setia'
April 6, 2026, 10:31 am
Krisis tenaga global: Bangladesh pendekkan waktu bekerja, operasi pasar raya tamat 7 malam
April 2, 2026, 11:33 am
Harga minyak dunia melambung melepasi AS$100 selepas amaran keras Trump terhadap Iran
April 2, 2026, 8:33 am
Amaran tsunami di pesisir Malaysia susulan gempa kuat magnitud 7.4 di Laut Maluku
March 27, 2026, 10:34 am
Pembangkang Israel beri amaran tentera di ambang keruntuhan
March 26, 2026, 12:53 pm
(VIDEO) 24 maut, bas terjunam dalam sungai di Rajbari, Bangladesh
March 24, 2026, 9:00 pm
