Berita Politik
BN Sabah tekad singkir ‘pengkhianat’, tampil 80 peratus calon baharu
KUALA LUMPUR 10 Nov – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan senarai calon baharu Barisan Nasional (BN) yang diumumkan semalam sebagai bukti ketegasan parti menyingkirkan kumpulan ‘pengkhianat’ serta memperkukuh barisan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, 80 peratus daripada 41 calon BN untuk PRN kali ini adalah muka baharu, menjadikan parti itu tampil dengan pembaharuan yang lebih jelas.
“BN Sabah berwajah baharu, semua pengkhianat parti sudah dibersihkan. Kami bertekad untuk membangun Sabah dan memakmurkan rakyat. Kami memberi jaminan akan mengeluarkan Sabah daripada data kemiskinan yang sekian lama membelenggu rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, BN komited menyelesaikan isu asas rakyat seperti bekalan air bersih, masalah elektrik dan jalan raya – perkara yang menurutnya gagal ditangani kerajaan terdahulu.
“BN bukan parti baharu. BN ialah gerakan rakyat yang konsisten memperjuangkan nasib rakyat di seluruh negara. Pada PRN Sabah kali ini, BN sudah bersedia di semua peringkat untuk mencapai kemenangan demi mengembalikan kegemilangan negeri dan rakyat Sabah,” katanya.
Kenyataan mengenai ‘pengkhianat’ itu dipercayai merujuk kepada beberapa bekas pemimpin termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang bertindak keluar parti atau tidak sehaluan dengan UMNO Sabah. Dua ADUN yang mengambil pendirian bercanggah turut digugurkan daripada senarai calon.
BN semalam mengumumkan 41 calon untuk PRN Sabah pada 29 November ini, dengan hanya 20 peratus merupakan calon lama termasuk lima penyandang.
Berita berkaitan
June 5, 2026, 12:13 pm
Muhyiddin tidak bertanding PRN Johor, Bersatu taruh harapan pada pemimpin tempatan
June 3, 2026, 11:55 am
PRN Johor: Benteng BN digugat, PN intai kejutan, PH cari nyawa politik
June 1, 2026, 1:58 pm
52 tahun penubuhan: Ahmad Zahid mahu jentera BN bersatu, sedia depani politik matang
May 31, 2026, 9:24 am
PEJUANG nafi Hamzah Zainudin mohon sertai parti, tegas tiada rundingan politik
May 28, 2026, 4:35 pm
Isu pengambilalihan parti: Rafizi nafi bayar RM8.5 juta kepada Tan Gin Theam
May 26, 2026, 1:56 pm
