Berita Dunia
Thailand gantung Perjanjian Damai KL lepas insiden letupan periuk api, dakwa permusuhan belum tamat
BANGKOK 11 Nov - Thailand mengumumkan penggantungan sementara pelaksanaan Perjanjian Damai Kuala Lumpur, hanya dua minggu selepas perjanjian itu dimeterai, susulan insiden letupan periuk api yang mencederakan dua askar negara itu berhampiran sempadan Kemboja.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, berkata tindakan itu dibuat selepas pihak berkuasa mendapati ancaman di sempadan masih wujud dan belum menunjukkan tanda-tanda perdamaian seperti yang diharapkan.
“Segala yang kami lakukan setakat ini akan dihentikan sehingga ada lebih banyak pencerahan.
Apa yang berlaku menunjukkan bahawa permusuhan masih belum reda seperti yang kami sangkakan. Jadi kami tidak boleh meneruskan apa-apa langkah buat masa ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut beliau, Thailand turut menangguhkan pembebasan 18 askar Kemboja yang kini dalam tahanan – satu langkah yang sepatutnya dilaksanakan pada 21 November, seperti termaktub dalam syarat perjanjian damai berkenaan.
Media tempatan melaporkan, dua askar Thailand itu cedera selepas terpijak periuk api yang disyaki baru dipasang ketika melakukan rondaan rutin di wilayah Si Sa Ket, berhampiran sempadan Kemboja.
Letupan itu merupakan insiden ketujuh dalam tempoh empat bulan, selepas siri letupan pada Julai lalu mencetuskan pertempuran paling serius di sempadan dua negara itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang dimeterai sebelum ini menyeru agar senjata berat dikeluarkan dari zon sempadan antara 1 November hingga 31 Disember, selain menggariskan komitmen bersama untuk menjalankan operasi pembersihan periuk api.
Anutin turut mengarahkan Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pertahanan Thailand mengemukakan aduan rasmi kepada pasukan pemerhati yang terdiri daripada pegawai tentera negara-negara ASEAN.
Thailand turut menggesa Kemboja memperhebat tindakan terhadap operasi penipuan siber di negara itu yang didakwa turut memberi kesan terhadap keselamatan rantau.
Perdana Menteri itu dijadualkan melawat askar yang cedera di Si Sa Ket pada Selasa serta mempengerusikan mesyuarat khas berhubung pendirian Thailand terhadap perjanjian damai tersebut.
Setakat ini, Kementerian Pertahanan Kemboja belum memberikan sebarang maklum balas terhadap kenyataan atau tindakan Thailand itu.
Berita berkaitan
July 14, 2026, 6:56 pm
Houthi Yaman lancarkan peluru berpandu ke arah Arab Saudi
July 14, 2026, 10:01 am
Masuk tandas cari perlindungan, 27 maut di kelab malam
July 10, 2026, 4:15 pm
Anak kandung sakit mental mengaku tikam warga emas sehingga maut
July 2, 2026, 9:13 pm
Sembilan sami Buddha maut lepas dirempuh kanak-kanak 11 tahun pandu trak pikap
July 2, 2026, 12:24 pm
Bapa hantuk kepala lepas impian anak jadi doktor musnah
July 2, 2026, 10:36 am
Bumbung uzur pusat tuisyen runtuh, 15 termasuk 14 kanak-kanak maut
July 1, 2026, 12:15 pm
Bekas Menteri Pendidikan Indonesia, pengasas Gojek dihukum penjara 10 tahun kes rasuah
June 29, 2026, 7:24 pm
Bapa sanggup maafkan teman wanita lepas belasah anak 18 bulan hingga mati
June 29, 2026, 2:29 pm
