Berita Berita
Kemungkinan dilantik ke Kabinet Persekutuan, Amirudin serah kepada PM
SHAH ALAM 10 Dis - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kemungkinan pelantikannya ke dalam Kabinet Persekutuan.
Namun, beliau menegaskan pendiriannya kekal – untuk terus memimpin Selangor sehingga tamat penggal pentadbiran bagi memastikan segala perancangan negeri dapat diselesaikan dengan baik.
"Dengan tempoh berbaki setahun setengah atau maksimum dua tahun, biasanya tidak banyak perkara baharu dapat dilakukan dan sukar memastikan kerja itu sempurna.
"Sebab itu lebih baik saya sempurnakan kerja di sini sebagai Menteri Besar Selangor, memastikan negeri ini kembali kita menangi dengan signifikan dan melengkapkan semua perancangan sedia ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Kepada Masjid dan Surau Selangor di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Nama Amirudin sebelum ini disebut sebagai antara figura politik berpotensi untuk dibawa masuk ke Kabinet bagi memperkukuh struktur pentadbiran negara dalam rombakan yang dijangka dilakukan.
Selain beliau, Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut dikatakan antara calon yang mungkin mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Ewon Benedict, bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Pejabat Perdana Menteri pada 3 Disember lalu memaklumkan, Anwar akan memutuskan senarai menteri dan timbalan menteri Kerajaan Madani selepas proses penelitian yang cermat serta berlandaskan kepentingan rakyat dan hala tuju reformasi negara.
Dalam pada itu, Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) semalam berlangsung dalam suasana harmoni, dan gabungan itu komited untuk terus bergerak ke hadapan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebelum ini, beliau berkata ia adalah sebahagian usaha PH untuk memperkukuh gabungan, memperbaiki kelemahan serta meraih kembali sokongan rakyat.
"Ia untuk PH memperkukuhkan, mempelajari, membetulkan kesilapan dan kembali mendapatkan sokongan yang mungkin terkesan selepas PRN Sabah," katanya.
Berita berkaitan
May 11, 2026, 7:57 am
'Muhasabahlah diri, orang Melayu tak boleh hanya tunggu dibantu' - Bekas CEO Proton
May 10, 2026, 9:10 pm
Kerajaan setuju teliti semula subsidi RON95 untuk golongan T20 - Anwar
May 10, 2026, 7:09 pm
Lelaki Myanmar lari lepas rempuh penunggang motosikal hingga maut di Kota Bharu
May 10, 2026, 3:39 pm
Bekas pembantu khas Teresa Kok dijangka didakwa kes rasuah RM500,000 di mahkamah esok
May 10, 2026, 10:49 am
Lelaki maut ditembak depan pusat hiburan di Johor Bahru
May 10, 2026, 8:09 am
