Berita Politik
DAP tidak ghairah tambah ahli semata-mata tingkatkan angka keahlian
KUALA LUMPUR 1 Feb – DAP menegaskan parti itu tidak pernah ghairah mencari ahli baharu semata-mata untuk menambah jumlah keahlian, meskipun penyertaan rakyat Malaysia ke dalam parti berkenaan sentiasa dialu-alukan.
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan berkata, usaha memperluaskan keahlian parti termasuk dalam kalangan masyarakat Melayu tidak akan dilakukan secara terburu-buru atau sehingga menggadaikan prinsip perjuangan parti.
Menurutnya, DAP tidak akan menarik masuk ahli daripada parti lain yang kecewa akibat pergolakan dalaman dan sekadar mencari platform baharu untuk berpaut.
“Walaupun secara umumnya penyertaan mana-mana rakyat Malaysia ke dalam DAP adalah dialu-alukan, namun parti ini tidak pernah ghairah untuk mencari ahli semata-mata bagi menambah angka keahlian,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan Pengerusi DAP Wangsa Permai Kepong, Muhammad Najmi Samsudin sebelum ini yang mendakwa beberapa pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor telah bertemu dengannya untuk menyatakan hasrat menyertai DAP.
Muhammad Najmi dilaporkan berkata, penyertaan tersebut dialu-alukan sekiranya dibuat secara ikhlas serta disertai kefahaman jelas terhadap hala tuju dan prinsip parti.
Bagaimanapun, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong kemudiannya menjelaskan bahawa Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) tidak pernah memberikan sebarang mandat atau kuasa kepada mana-mana individu untuk mewakili parti dalam perbincangan politik, rundingan kerjasama atau hubungan dengan Bersatu atau mana-mana pemimpinnya.
Dalam pada itu, Syahredzan menegaskan bahawa kemasukan ahli Melayu ke dalam DAP berlaku secara organik, cermat dan berterusan.
“Kini DAP mempunyai pemimpin Melayu di semua peringkat termasuk sebagai wakil rakyat, ahli majlis, ketua kampung serta pemimpin akar umbi.
“Yang paling penting, setiap ahli DAP tanpa mengira bangsa dan agama perlu menghayati perjuangan parti serta berjuang demi kepentingan negara dan rakyat Malaysia,” ujarnya.
Berita berkaitan
June 5, 2026, 12:13 pm
Muhyiddin tidak bertanding PRN Johor, Bersatu taruh harapan pada pemimpin tempatan
June 3, 2026, 11:55 am
PRN Johor: Benteng BN digugat, PN intai kejutan, PH cari nyawa politik
June 1, 2026, 1:58 pm
52 tahun penubuhan: Ahmad Zahid mahu jentera BN bersatu, sedia depani politik matang
May 31, 2026, 9:24 am
PEJUANG nafi Hamzah Zainudin mohon sertai parti, tegas tiada rundingan politik
May 28, 2026, 4:35 pm
Isu pengambilalihan parti: Rafizi nafi bayar RM8.5 juta kepada Tan Gin Theam
May 26, 2026, 1:56 pm
