Berita Berita
Sultan Pahang tegas jangan berdiam diri isu penghinaan al-Quran
KUANTAN 4 Mac – Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan kesal terhadap insiden yang dilihat sengaja mengganggu-gugat keharmonian negara serta negeri ini.
Baginda bertitah, ia termasuk isu melibatkan seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang didakwa memijak senaskhah al-Quran.
Menurut baginda, perbuatan itu bukan sahaja sangat biadab, malah menghina kesucian wahyu serta menggores hati umat Islam selain berpotensi menggugat keharmonian masyarakat yang dibina atas asas saling menghormati.
“Apabila al-Quran dipijak, yang tercalar bukan sekadar kertasnya tetapi kesucian wahyu dan maruah umat Islam.
“Dalam hal ini, saya menegaskan, apabila al-Quran dipijak diam bukanlah satu pilihan. Diam dalam keadaan agama dihina adalah tanda lemahnya jiwa dan pudar maruah,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan masjid baharu Felda Jengka 19 yang dimasyhurkan sebagai Masjid Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Selasa.
Al-Sultan Abdullah turut mengulangi ungkapan tokoh ulama, Buya Hamka, “Jika diam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kafan”.
Baginda menjelaskan, ungkapan tersebut bukan seruan kepada keganasan, sebaliknya peringatan bahawa mempertahankan maruah agama adalah kewajipan moral dan tanggungjawab iman.
“Namun mempertahankannya hendaklah dengan hikmah, adab dan berpandukan undang-undang.
“Islam menuntut ketegasan tetapi dalam lingkungan keadilan. Semua pihak tidak boleh membiarkan penghinaan berlaku, namun kita juga tidak boleh membalas dengan tindakan yang meruntuhkan keamanan. ‘Menang jadi arang, kalah jadi abu’, jika emosi menguasai akal, semua pihak akan rugi,” titah baginda.
Sebagai ketua dan pelindung agama Islam di negeri ini, baginda menegaskan sebarang penghinaan terhadap Islam wajib ditangani secara tegas tanpa kompromi menurut lunas undang-undang.
“Kebebasan bersuara bukan alasan untuk menghina agama. Biar mati anak, jangan mati adat, dan adat paling utama di negeri ini ialah menghormati agama sebagai tunjang kehidupan,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan bahawa mempertahankan kesucian Islam tidak bererti menafikan hak dan penghormatan terhadap agama lain.
Titah baginda, negeri ini dibina atas semangat hidup bersama dalam kepelbagaian dengan Islam sebagai agama Persekutuan dan negeri Pahang yang menjunjung prinsip keadilan serta rahmah.
“Kita mempertahankan agama kita dengan tegas, dalam masa sama menghormati penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka dengan aman.
“Peristiwa ini mesti menjadi cerminan muhasabah. Negeri boleh maju dengan teknologi tetapi ia hanya bermaruah jika akhlaknya terpelihara,” titah baginda.
Sehubungan itu, baginda menyeru rakyat kembali kepada al-Quran dengan membaca, memahami serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
“Semoga ALLAH SWT memelihara negeri ini daripada perpecahan dan kehinaan. Kukuhkan iman, satukan hati dan tetapkan langkah dalam mempertahankan agama dengan hikmah serta ketegasan,” titah baginda.
Berita berkaitan
September 15, 2026, 5:34 pm
JPJ beri amaran lori ‘makan’ lorong kanan, lebih 18,000 kenderaan sudah diambil tindakan
September 15, 2026, 4:01 pm
CCTV disambung terus ke IPK KL, polis cadang KK Mart jadi ‘stesen satelit’ 24 jam
September 15, 2026, 3:41 pm
Kes Jana Wibawa: Pendakwaan tak teruskan kes, Muhyiddin bebas empat pertuduhan RM200 juta
September 15, 2026, 1:47 pm
Empat Rohingya ditahan, disyaki terbabit kes curi dan pecah rumah di Perak
September 15, 2026, 1:33 pm
KPM galak ibu bapa bawa anak jalani saringan awal kesan masalah pembelajaran
September 15, 2026, 1:32 pm
Tiga hari penuh manfaat, Festival Mega i LINDUNG u menanti pengunjung di Strand Mall bermula 18 September
September 15, 2026, 1:17 pm
Mohamad Sabu hantar notis tuntutan kepada pemilik akaun Facebook isu bekalan baja Kedah
September 15, 2026, 1:11 pm
