Berita Jenayah
Lelaki mengamuk libas pisau ke arah polis ditahan di Telok Mengkuang
KUALA LANGAT 9 April – Seorang lelaki warga tempatan yang bertindak agresif dengan melibas sebilah pisau ke arah anggota polis berjaya ditahan dalam satu kejadian di sebuah restoran di kawasan Telok Mengkuang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Mohd Akmalrizal Radzi memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan mengenai insiden tersebut pada jam 3.30 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian, suspek didapati sedang mengamuk menggunakan sebilah pisau pemotong daging serta sebatang rotan di sebuah restoran makanan laut di Jalan Pandan 2.
"Suspek turut bertindak ganas dengan melibaskan senjata ke arah anggota polis serta kenderaan MPV, sekali gus mengancam keselamatan pihak berkuasa dan orang awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Siasatan awal mendedahkan suspek telah memecahkan pelbagai barangan di restoran tersebut selain merosakkan tiga buah kenderaan milik orang awam yang diletakkan di kawasan sekitar.
Mohd Akmalrizal menjelaskan bahawa hasil tindakan pantas pihak polis, lelaki terbabit berjaya ditumpaskan dan kini telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk pemeriksaan lanjut.
"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya," jelas beliau lagi.
Pihak polis turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat tambahan mengenai kejadian ini untuk menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Berita berkaitan
May 8, 2026, 2:11 pm
Operasi bersepadu di Cyberjaya: 13 warga asing ditahan di Menara Paragon
May 8, 2026, 12:29 pm
Polis serbu gudang ganja di Sepang, rampasan bernilai RM4.8 juta
May 6, 2026, 11:22 am
Pasangan remaja ditahan susulan cubaan gugur kandungan, sembunyi janin dalam kereta
May 5, 2026, 11:08 am
Warga emas maut ditetak jiran, suspek ada rekod rawatan mental ditahan
May 4, 2026, 9:16 am
Hina Sultan Selangor: Lelaki ditahan di Bukit Mertajam
May 2, 2026, 6:01 pm
Kanak-kanak 10 tahun maut, pemandu Hilux positif ganja rempuh laluan bertentangan
May 2, 2026, 12:09 pm
Penuntut kolej maut dengan 61 kesan tikaman, empat suspek ditahan
April 28, 2026, 1:36 pm
