Berita Sukan
'Atlet berjaya tidak muncul tiba-tiba' - Mordi gesa persatuan sukan fokus pembangunan dari akar umbi
KUCHING, 13 April – Persatuan sukan di semua peringkat disaran memberi perhatian serius terhadap pembangunan akar umbi bagi memastikan kesinambungan bakat atlet pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol, berkata kementerian turut memberi jaminan untuk menyediakan bantuan serta sokongan yang selari dengan pendekatan setiap badan sukan.
“Setiap sukan adalah berbeza, tetapi satu persamaan yang saya lihat ialah kepentingan pembangunan akar umbi.
“Pemain atau atlet yang berjaya tidak muncul secara tiba-tiba, perlu ada asas terlebih dahulu.
“Inilah peranan penting yang dimainkan oleh persatuan sukan,” katanya dalam satu taklimat selepas menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Bina Badan Bahagian Kuching (KDBBA) di Kompleks Belia dan Sukan Sarawak (Kombes), di sini hari ini.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Mas Gading itu memuji KDBBA kerana menyediakan platform permulaan kepada atlet bina badan dari kawasan selatan negeri itu untuk meneroka potensi lebih jauh.
“Berdasarkan perbincangan kami, KDBBA telah menyusun langkah yang jelas, bermula daripada pertandingan Mr Kuching sehinggalah ke peringkat kejohanan negeri dan kebangsaan.
“Saya juga dimaklumkan ramai atlet dari Kuching telah berjaya melangkah ke peringkat serantau, Asia dan antarabangsa.
“Inilah yang saya maksudkan dengan pembangunan akar umbi,” katanya.
Bagaimanapun, Mordi turut mengakui wujud cabaran dalam sukan bina badan.
“Sebahagian besar portfolio saya sebagai timbalan menteri adalah untuk memantau pembangunan belia dan sukan di Sarawak serta Sabah.
“Sepanjang lawatan kerja dan sesi libat urus saya di Sarawak minggu ini, saya telah memahami lebih lanjut mengenai kebimbangan dan isu yang dihadapi oleh pemegang taruh sukan di negeri ini, termasuk maklum balas daripada komuniti sukan tempatan.
“Saya memberi jaminan bahawa perkara-perkara ini akan diteliti dan diambil tindakan,” katanya lagi.
Delegasi KDBBA yang hadir terdiri daripada presidennya, Adrian Wong; timbalan presiden, Philomena Dexclyn Siar; serta Presiden Persatuan Bina Badan Sarawak, Dr Malvern Abdullah.
Taklimat itu turut dihadiri oleh Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak (Pembangunan Sukan), Fatimah Abdul Rahman serta Pesuruhjaya Sukan Malaysia – Wilayah Sarawak, Azizi Johari.
Berita berkaitan
May 8, 2026, 9:33 am
JDT belum mengalah meski tewas 1-3 kepada Buriram United
May 5, 2026, 8:18 pm
Pengendali JDT tuntut aksi agresif dan kurangkan kesilapan berdepan Buriram United
April 23, 2026, 5:19 pm
Harga tiket Final Piala Malaysia kekal, serendah RM50
April 14, 2026, 2:23 pm
Kerajaan peruntuk RM3 juta perkukuh pembangunan sukan sepak takraw negara
March 31, 2026, 11:56 am
Gaji tidak dibayar, legenda import bola sepak Kedah terpaksa mengemis di sosial media
March 25, 2026, 7:21 pm
JDT diundi laluan sukar, berpotensi bertemu juara bertahan
March 25, 2026, 9:36 am
AFC denda JDT RM24,172
March 19, 2026, 11:19 am
JDT buru musim tanpa kalah selepas belasah PDRM FC 7-0
March 18, 2026, 9:45 am
