Berita Politik
Analisa dalaman PKR tunjuk prestasi menurun, Nurul Izzah nasihat ahli jangan kekal syok sendiri
KUALA LUMPUR 8 Mei – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menafikan dakwaan bahawa beliau menjadi sumber kepada pembentangan analisa dalaman parti yang dilaporkan media, sambil menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah.
Menerusi satu kenyataan susulan laporan media mengenai prestasi dalaman parti, beliau berkata dakwaan yang memetik “sumber dalaman” itu bukan sahaja tidak tepat, malah mencemarkan adab dalam organisasi parti.
Menurut beliau, tindakan membocorkan bahan dalaman berkenaan menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dan lebih cenderung menjadi “sumber khianat demi berita sensasi”.
“Rencana versi awal bahawa kandungan tersebut datang daripada saya adalah fitnah semata-mata,” katanya.
Nurul Izzah Anwar menjelaskan analisa yang menunjukkan penurunan prestasi parti sebenarnya merupakan sebahagian daripada audit dalaman yang dilakukan bagi tujuan muhasabah serta penambahbaikan organisasi.
Katanya, usaha itu penting untuk merapatkan saf kepimpinan, memperkukuh jentera parti dan memastikan segala gerak kerja lebih tertumpu kepada kebajikan rakyat.
“Supaya janganlah mana-mana parti politik kekal syok sendiri,” ujarnya.
Beliau turut membayangkan kemungkinan wujud usaha sabotaj terhadap proses pembaikan dalaman parti.
“Malangnya, ada pihak berkemungkinan bertujuan mensabotaj usaha untuk memperbaiki serta memurnikan gerak kerja bersama. Wallahualam,” katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, beliau turut meminta Malaysiakini membetulkan laporan berkenaan dan memadamkan sebarang rujukan yang mengaitkan namanya.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya membezakan antara pemberi maklumat yang benar-benar bertindak demi kepentingan awam dengan pihak yang membocorkan maklumat untuk merosakkan organisasi.
“Ada beza antara whistleblower murni dan whistleblower khianat,” tegasnya.
Nurul Izzah Anwar turut mengingatkan orang ramai mengenai kepentingan tabayyun atau menyelidik sesuatu berita sebelum mempercayainya selaras dengan tuntutan agama dan prinsip keadilan.
Beliau turut memetik firman Allah SWT:
“إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا”
yang membawa maksud setiap berita yang diterima perlu diselidik dan dinilai secara adil sebelum dibuat sebarang kesimpulan.
Berita berkaitan
June 5, 2026, 12:13 pm
Muhyiddin tidak bertanding PRN Johor, Bersatu taruh harapan pada pemimpin tempatan
June 3, 2026, 11:55 am
PRN Johor: Benteng BN digugat, PN intai kejutan, PH cari nyawa politik
June 1, 2026, 1:58 pm
52 tahun penubuhan: Ahmad Zahid mahu jentera BN bersatu, sedia depani politik matang
May 31, 2026, 9:24 am
PEJUANG nafi Hamzah Zainudin mohon sertai parti, tegas tiada rundingan politik
May 28, 2026, 4:35 pm
Isu pengambilalihan parti: Rafizi nafi bayar RM8.5 juta kepada Tan Gin Theam
May 26, 2026, 1:56 pm
