Berita Jenayah
6 warga asing termasuk remaja 17 tahun ditahan seludup dadah di KLIA, rampasan cecah RM13.85 juta
Oleh AZIM SAID
Polis Diraja Malaysia berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah secara berasingan di Terminal KLIA menerusi operasi yang dijalankan antara 6 hingga 10 Mei lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan, operasi membawa kepada penahanan enam warga asing terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 17 hingga 31 tahun.
“Bagi tangkapan pertama pada 6 Mei, polis menahan seorang lelaki dan dua wanita warga asing selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika melalui mesin pengimbas bagasi di terminal KLIA,” katanya.
Pemeriksaan ke atas tiga bagasi suspek menemukan 66 bungkusan plastik mengandungi dadah disyaki bunga ganja seberat 72.6 kilogram bernilai kira-kira RM5.8 juta.
Dalam operasi kedua pada 9 Mei pula, seorang lelaki dan seorang wanita warga asing ditahan selepas polis menemui 136 bungkusan plastik berisi bunga ganja seberat 72.8 kilogram dengan nilai rampasan dianggarkan RM5.85 juta.
Sementara itu, operasi ketiga pada 10 Mei membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun bersama dua bagasi mengandungi 52 bungkusan plastik disyaki bunga ganja seberat 27.4 kilogram bernilai RM2.2 juta.
Jumlah keseluruhan rampasan seberat 172.8 kilogram dadah jenis bunga ganja bernilai RM13.85 juta.
"Hasil siasatan awal mendapati semua dadah tersebut dipercayai cuba diseludup ke negara Eropah," jelasnya.
Suspek turut dipercayai menggunakan pas lawatan sosial bagi menjalankan aktiviti pengedaran dadah di negara ini.
Hasil ujian air kencing mendapati hanya seorang daripada kesemua suspek positif dadah manakala kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau di Malaysia
Kesemua suspek direman dalam tempoh 14 hari bagi membantu siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Berita berkaitan
June 3, 2026, 1:29 pm
Pekerja dalang samun kedai serbaneka ditahan akibat tertinggal selipar
June 2, 2026, 3:10 pm
Padah tunjuk aksi ‘wheelie’ dalam video tular, dua penunggang bersama pembonceng dicekup
May 30, 2026, 11:09 am
Pemandu Myvi tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh rempuh operator wanita di Danga Bay
May 25, 2026, 8:23 pm
Ketua Geng Rames tumpas dalam penerbangan ke India hasil intipan Op Tiga
May 22, 2026, 4:21 pm
Ceroboh rumah intip wanita mandi: Polis tahan penganggur miliki rekod lampau
May 21, 2026, 8:54 pm
Kematian pegawai kanan JSJ Selangor diklasifikasi kes mati mengejut, tiada unsur jenayah
May 21, 2026, 8:42 pm
Lelaki ditemukan maut berlumuran darah di hadapan kedai makan di Pekan Nanas
May 19, 2026, 11:05 am
