Berita Berita
Melaka tak 'rushing' bubar DUN, beri laluan kepada Johor dan Negeri Sembilan adakan PRN - Ab Rauf
MASJID TANAH 6 Jun – Kerajaan Melaka akan meneruskan pentadbiran negeri dan belum bercadang untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat meskipun Johor dan Negeri Sembilan telah mengumumkan pembubaran bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Melaka masih mempunyai tempoh sehingga hujung tahun ini sebelum tamat penggal DUN, justeru tiada keperluan untuk membuat keputusan tergesa-gesa berhubung pembubarannya.
Menurut beliau, keadaan politik dan pentadbiran di Melaka berbeza daripada Johor dan Negeri Sembilan, sekali gus membolehkan kerajaan negeri terus memberi tumpuan kepada urusan pentadbiran serta kebajikan rakyat.
“Suasana dan keadaan di Johor tidak sama dengan Melaka, begitu juga di Negeri Sembilan yang tidak memerlukan Melaka membubarkan DUN secara segera.
“Kita akan terus menjalankan urusan kerajaan dan menyantuni rakyat sehingga satu tarikh yang akan diumumkan secara rasmi,” katanya selepas mengadakan majlis kesyukuran di kediamannya di Kampung Pulau, di sini malam tadi.
Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, kerajaan negeri mempunyai pertimbangan tersendiri dalam menentukan masa paling sesuai untuk membubarkan DUN dan tidak akan terikut-ikut dengan langkah yang diambil oleh negeri lain.
Katanya, sebarang keputusan berhubung pembubaran DUN perlu mengambil kira kestabilan pentadbiran kerajaan negeri selain memastikan urusan yang melibatkan kepentingan rakyat dapat diselesaikan terlebih dahulu.
Pada masa sama, beliau berkata Melaka mahu memberi tumpuan membantu jentera Barisan Nasional (BN) menghadapi PRN di Johor dan Negeri Sembilan sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan pilihan raya di negeri itu.
“Namun sebagai negeri jiran, kita akan memberikan kerjasama membantu jentera BN bagi memenangkan parti di Johor dan Negeri Sembilan.
“Hasil keputusan pilihan raya di kedua-dua negeri itu nanti akan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat di Melaka,” katanya.
Mengulas desakan sesetengah pihak yang mahu DUN Melaka dibubarkan segera, beliau menegaskan tidak berasa tertekan dengan tuntutan berkenaan.
Bagaimanapun, Ab Rauf tidak menolak kemungkinan PRN Melaka diadakan serentak dengan negeri lain sekiranya keadaan memerlukan.
“Dalam politik, tiada yang mustahil. Politik adalah seni seribu satu kemungkinan. Apa pun, kita tunggu dan lihat,” katanya.
Berita berkaitan
July 17, 2026, 4:27 pm
Pempengaruh media sosial didakwa rogol remaja bawah umur di Kangar, mengaku tidak bersalah
July 17, 2026, 4:24 pm
Anwar bersyukur kadar inflasi negara terus mereda meskipun berdepan suasana pilihan raya
July 17, 2026, 4:19 pm
'Apakah Kerajaan Perpaduan akan tinggal sejarah?' - Mat Sabu persoal hala tuju BN
July 17, 2026, 3:42 pm
Remaja Rohingya tergamak campak bayi baru lahir dari tingkap hotel di JB
July 17, 2026, 3:24 pm
'Kes buli di sekolah sudah jadi penyakit akhlak' - Anwar
July 17, 2026, 2:51 pm
'Saya tidak minta laluan mudah, cuma mahu dinilai atas usaha sendiri' - Nurul Hidayah
July 17, 2026, 2:20 pm
