Berita Berita
Budak jumpa mayat lelaki dalam longkang dipercayai mangsa langgar lari di Tasek Gelugor
Budak jumpa mayat lelaki dalam longkang dipercayai mangsa langgar lari di Tasek Gelugor
TASEK GELUGOR 6 Jun - Sekumpulan kanak-kanak yang sedang memancing di sebuah longkang di tepi Jalan Merbau Kudung di sini dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki dalam kejadian yang berlaku pagi tadi.
Mangsa dikenal pasti sebagai Adanan Hassim, 64, dan penemuan tersebut kemudiannya dimaklumkan kepada penduduk kampung sebelum laporan dibuat kepada pihak polis kira-kira pukul 10 pagi.
Anak saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd berkata, dia menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada penduduk kampung sebelum bergegas ke lokasi kira-kira pukul 12 tengah hari.
Menurutnya, mayat mangsa ditemui kira-kira 500 meter dari rumahnya di Kampung Nyior Sebatang.
Mohd berkata, bapa saudaranya yang melakukan kerja-kerja kampung untuk menyara kehidupan tinggal bersendirian sejak bercerai lebih sedekad lalu.
Katanya, mangsa mempunyai lima orang anak yang kini tinggal bersama ibu mereka.
"Ini laluan yang sering digunakan bapa saudara untuk membeli makanan kerana terdapat sebuah kedai berhampiran.
"Saya terkejut menerima berita kematiannya. Setahu saya, dia seorang yang pendiam dan tidak pernah mempunyai masalah dengan penduduk kampung," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, mangsa mengalami patah kaki kiri dan dipercayai dilanggar sebuah kenderaan sebelum tercampak ke dalam longkang.
"Bagaimanapun, kami masih menunggu hasil siasatan polis," katanya.
Terdahulu, polis mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengeluarkan mayat mangsa dari longkang berkenaan.
Pasukan forensik polis bersama Unit K9 turut menjalankan pemeriksaan dan siasatan di lokasi kejadian bagi mengumpul bukti serta mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Difahamkan, mangsa dipercayai telah meninggal dunia kira-kira dua hari lalu berdasarkan keadaan mayat ketika ditemui.
Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kecederaan pada kaki kiri mangsa serta menentukan punca sebenar kematiannya.
Berita berkaitan
July 17, 2026, 4:27 pm
Pempengaruh media sosial didakwa rogol remaja bawah umur di Kangar, mengaku tidak bersalah
July 17, 2026, 4:24 pm
Anwar bersyukur kadar inflasi negara terus mereda meskipun berdepan suasana pilihan raya
July 17, 2026, 4:19 pm
'Apakah Kerajaan Perpaduan akan tinggal sejarah?' - Mat Sabu persoal hala tuju BN
July 17, 2026, 3:42 pm
Remaja Rohingya tergamak campak bayi baru lahir dari tingkap hotel di JB
July 17, 2026, 3:24 pm
'Kes buli di sekolah sudah jadi penyakit akhlak' - Anwar
July 17, 2026, 2:51 pm
'Saya tidak minta laluan mudah, cuma mahu dinilai atas usaha sendiri' - Nurul Hidayah
July 17, 2026, 2:20 pm
