Berita Dunia
Masuk tandas cari perlindungan, 27 maut di kelab malam
BANGKOK 14 JULAI - Thailand sedang menyiasat kemungkinan kecuaian jenayah dan pelanggaran keselamatan dalam kebakaran di sebuah premis komersial di kawasan Lat Phrao di Bangkok yang mengorbankan 27 orang awal pagi Isnin.
Ketua Polis Negara, Pol Jen Kittharath Punpetch, berkata, penyiasat belum menentukan punca sebenar kebakaran.
Namun, penemuan awal menunjukkan beberapa faktor yang mungkin memburukkan lagi tragedi itu termasuk pintu keluar kecemasan terhalang, bahan dalaman mudah terbakar dan kemungkinan kerosakan elektrik.
"Pemeriksaan awal mendapati premis satu tingkat itu mempunyai dua pintu masuk utama di hadapan dan dua pintu keluar di belakang.
"Bagaimanapun, sebuah meja menjual konfeksi ditemukan menghalang pintu berhampiran tandas wanita, manakala satu lagi pintu keluar kecemasan berhampiran bar sebahagiannya terhalang oleh unit rak dan loker.
"Ini menyempitkan laluan dan membolehkan hanya seorang melaluinya pada satu-satu masa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kittharath berkata, bukti menunjukkan ramai mangsa dijumpai di dalam atau berhampiran tandas lelaki dan wanita.
Penyiasat percaya pelanggan tidak dapat mengesan laluan selamat ketika berada dalam asap tebal, tersilap memasuki tandas untuk mencari perlindungan atau mencari air, yang mana mereka kemudiannya terperangkap.
Beliau berkata, polis juga sedang menyiasat sama ada salah satu pintu keluar kecemasan telah dikunci.
"Sekiranya pintu keluar kecemasan didapati tidak dapat diakses semasa kebakaran, ia boleh menjadi bukti kecuaian jenayah," katanya.
Beliau berkata, penyiasat akan menyoal pemilik perniagaan, rakan kongsi, pengurus, pekerja, kakitangan dapur dan kontraktor yang terbabit dalam kerja-kerja pengubahsuaian dan dalaman bangunan itu bagi mengenal pasti punca kebakaran serta menentukan tanggungjawab.
Pihak berkuasa turut menyiasat laporan daripada pemuzik yang sebelum ini mengadu mengenai kuasa elektrik tidak stabil yang kerap berlaku di premis itu untuk menentukan sama ada sistem elektrik yang terlebih beban menyumbang kepada kebakaran.
Pakar forensik telah diarahkan untuk memeriksa sistem elektrik bangunan, pendawaian, siling dan sistem pemotongan elektrik.
Kittharath berkata, dua hingga tiga hari lagi diperlukan untuk mengalih struktur pentas dan siling yang runtuh sebelum pegawai forensik dapat menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap tempat punca yang disyaki.
Polis menyiasat kes berkenaan kerana menyebabkan kematian dan kecederaan akibat kecuaian.
Kebakaran itu turut mengakibatkan lebih 70 orang cedera, dengan 25 masih dalam rawatan rapi.
Berita berkaitan
August 7, 2026, 8:45 pm
Guru maut, 4 cedera insiden tembakan di sekolah Thailand
August 6, 2026, 11:38 am
Kera ekor panjang mengamuk, hampir 20 mangsa cedera parah akibat serangan
August 6, 2026, 10:14 am
Lelaki Malaysia ditahan seludup ganja, syabu RM1.2 juta di Woodlands
August 5, 2026, 4:09 pm
Bawa pekerja islam masuk gereja, tindakan majikan cetus pertikaian ramai
August 4, 2026, 6:07 pm
Ibu ikan lumba-lumba sedih usung bangkai anak ditemani kawan-kawan
July 31, 2026, 2:32 pm
Juruterbang warga Malaysia ditahan di Jakarta, cuba seludup 26kg dadah
July 31, 2026, 11:25 am
Kerajaan Sepanyol arah tentera kawal ratusan migran berenang dari Maghribi ke Ceuta
July 30, 2026, 11:53 am
CCTV rakam kucing kesan gempa bumi lebih awal di Jepun
July 29, 2026, 5:54 pm
Ahli politik Kanada dikecam lepas baca arahan AI masa sidang dewan
July 28, 2026, 6:23 pm
